Saturday, January 1, 2022

Lapor KPDNHEP jika ada syarat pelik beli minyak subsidi

Oleh ROSLIZA MOHAMED
PEGAWAI penguat kuasa KPDNHEP Kelantan sentiasa melakukan pemeriksaan di premis perniagaan dari semasa ke semasa bagi mengelak penyelewengan terhadap barangan kawalan. - Foto Ihsan KPDNHEP Kelantan

KOTA BHARU: Orang ramai diminta melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) jika terpaksa membeli minyak masak peket secara bersyarat di mana-mana premis.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap amalan sebegitu.

Sebaliknya, kata beliau, tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang menjual barangan bersubsidi, terutama minyak masak peket dengan mengenakan syarat tambahan kepada pengguna.

“Setakat ini pihak kami belum menerima aduan rasmi daripada orang awam termasuk peniaga berkaitan syarat perlu membeli gula baru boleh beli minyak masak peket. 

“Kita percaya amalan itu mungkin kerana segelintir pihak cuba mengambil kesempatan menggunakan barang kawalan sebagai pelaris jualan barangan lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu akhbar ini melaporkan wujudnya amalan menjual minyak masak peket secara bersyarat iaitu mewajibkan pelanggan membeli gula di kebanyakan kedai runcit di Tumpat, Pasir Mas, Rantau Panjang, Jeli serta Tanah Merah.

Disebabkan syarat tidak masuk akal itu, orang ramai mula mengeluh kerana ibarat dipaksa membeli barangan tidak diperlukan, sedangkan mereka mahu berjimat cermat di kala berdepan masalah kewangan.

Mengulas lanjut, Azanizam Affendi berkata, KPDNHEP Kelantan akan menjalankan siasatan lanjut adakah amalan mengenakan syarat ‘pelik’ tersebut mempunyai kaitan dengan aktiviti menyorok bekalan atau penyeludupan. 

“KPDNHEP Kelantan tidak akan bertolak ansur dengan peniaga termasuk pemborong dan pembekal yang cuba mengenakan ‘penjualan bersyarat’ selaras peruntukan di bawah Seksyen 19, Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Minyak masak peket yang dijual adalah disasarkan untuk kegunaan isi rumah dan bagi memastikan lebih ramai pengguna memperoleh barang kawalan tersebut, peruncit dibenarkan untuk mengawal pembelian dengan had tiga kilogram bagi setiap pengguna” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, bekalan minyak masak peket di negeri ini mencukupi berikutan pihak berkuasa sentiasa mengambil langkah pemantauan dan pemeriksaan rapi setiap hari bagi memastikan bekalan itu sentiasa berada di pasaran.- UTUSAN

No comments: