PASIR PUTEH: Kira-kira
150 petani di lima kampung di sini mendakwa mengalami kerugian hampir
RM500,000 ekoran padi mereka yang sedang membunting seluas 200
hektar kekeringan air akibat kemarau.
Petani terbabit dari lima
kampung iaitu Gaal, Wakaf Bunut, Gong Datuk, Kok Jering, Gaal dan Gong
Kedak terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gaal.
“Pokok padi memerlukan air bagi proses mengeluarkan buah dan kerja menabur baja tambahan tetapi tidak dapat dilakukan sejak sebulan lepas kerana tidak ada air yang cukup menyebabkan tanah menjadi merekah,” kata Timbalan Ketua Kelompok Wan Mohd Kozani Wan Yusoff, 59, ketika ditemui di bendang Gong Datuk semalam.
Beliau juga berkata, kawasan bendang di kawasan itu bergantung kepada air hujan sahaja walaupun mempunyai kemudahan asas seperti parit jari yang dibina kerajaan tetapi tidak berfungsi sejak beberapa tahun.
Menurutnya ketiadaan air dalam tempoh terdekat menyebabkan pokok padi akan musnah dan menjadi kering dan buah yang akan keluar menjadi hampa.
Wan Mòhd berkata, pihaknya menganggarkan kawasan itu bakal menghasilkan pendapatan antara RM2,000 hingga RM2,500 setiap hektar berasaskan pokok-pokok padi sekarang hidup subur dan dapat dituai pada bulan depan.
Seorang lagi petani Ab Rahim Ab Rahman, 62 berkata, kali ini merupakan pertama kali kawasan sawahnya seluas 37 hektar kekeringan air yang kebiasaannya setiap bulan Januari sehingga Mac hujan masih turun.
“Saya pernah memperolehi hasil sebanyak RM50,000 setiap musim tetapi tahun ini nasib kami masih terumbang ambing tidak dapat ditentukan,” katanya.
Seorang petani dari Kampung Kedak Zawawi Mamat, 68, merayu agensi berkaitan segera menempatkan beberapa pam air di kawasan terbabit.
Katanya, pam-pam air itu boleh menyedut air dari sungai berdekatan yang hanya terletak 400 meter sahaja dari kawasan bendang mereka.
Sementara itu pihak pengurusan Projek Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin Semerak tidak dapat dihubungi bagi mendapat penjelasan lanjut. – HARAKAHDAILY
No comments:
Post a Comment