Monday, January 31, 2022

PRN Johor: Ahli politik diminta ambil ujian personaliti

Sinar Harian
PRN Johor: Ahli politik diminta ambil ujian personaliti
Halim berkata, ujian RBTag bukanlah untuk mencari salah individu tersebut sebaliknya demi kebaikan bakal calon sendiri. - Gambar/ Sinar Harian
 
SHAH ALAM: Ahli politik negara termasuk calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor digesa mengambil ujian psikometrik Rasuah Busters Tag (RBTag) bagi mengukur kecenderungan tahap integriti yang menjurus kepada perlakuan salah guna kuasa dan rasuah.
 
Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak berkata, ujian RBTag bukanlah untuk mencari salah individu tersebut sebaliknya demi kebaikan bakal calon tersebut dan ia tidak menjejaskan peluang mereka untuk menjadi calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
 
Menurutnya, RBTag adalah sebagai alat untuk mengukur kecenderungan seseorang berkaitan dengan isu integriti yang menjurus kepada perlakuan salah guna kuasa dan rasuah. 
 
“Kami menyarankan agar setiap calon atau parti yang akan bertanding pada PRN Johor dapat menghubungi pasukan RBTag Rasuah Busters untuk menduduki ujian psikometrik yang pada saya ini adalah masa yang paling sesuai.
 
“Ujian ini bakal membuktikan kepada masyarakat bahawa calon-calon ini adalah berintegriti dan selayaknya dipilih untuk menjadi wakil mereka,” katanya kepada Sinar Harian.
 
Dalam pada itu, Halim berkata, ujian psikometrik ini juga boleh diperluaskan untuk diguna pakai dalam kalangan penjawat awam sebagai penanda aras integriti untuk sesebuah jabatan.
 
“Sekiranya mereka boleh menggesa mana-mana penjawat awam untuk melaksanakan ujian tersebut maka setiap kenaikan pangkat, kemasukan bakal penjawat awam boleh lebih telus dan berintegriti,” ujarnya.
 
Jelas Halim, penggunaan ujian psikometrik RBTag itu merupakan amalan yang lazim digunakan di negara yang berada dalam kedudukan 20 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) antaranya Denmark, Finland, New Zealand, Sweden dan termasuk negara jiran, Singapura.

No comments: