Astro Awani
SPR
digesa wujudkan satu kaedah undi pos bagi membolehkan lebih 400,000
rakyat Malaysia termasuk pengundi Johor di Singapura untuk mengundi
dalam Pilihan Raya Negeri (PRN). - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh menambah satu lagi kategori
Pengundi Tidak Hadir dengan menyediakan ruang untuk pengundian secara
pos buat rakyat Johor yang bekerja di Singapura.
Penulis
buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia, G Manimaran berkata, SPR ada
kuasa untuk melakukan perkara sedemikian seperti yang dilakukan pada
2017 apabila membenarkan petugas media dan kesihatan untuk mengundi pos.
Menurutnya, jika dinilai situasi pada
2017 dan sekarang, keadaan pada waktu kini dilihat lebih mendesak
kerana negara berhadapan dengan krisis kesihatan dan keselamatan.
“Kalau
lihat senario pada 2017 dan sekarang, kini lebih terdesak kerana krisis
kesihatan dan keselamatan…kita boleh sediakan. SPR boleh ada kuasa
untuk tambah kategori, bermaksud kategori pekerja di Singapura.
“Di luar Singapura pun boleh. Mungkin boleh sediakan peluang mereka
untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya sebagai seorang pengundi
yang layak. Ia sangat penting kerana baru-baru ini, SPR telah kuat
kuasakan undi automatik.
“Bermakna,
saya rasa semua pekerja yang tidak pernah daftar sebelum ini pun, yang
bekerja di Singapura, semua sudah layak jadi pengundi. Memang ada
keperluan khusus ke arah itu (sediakan undi pos),” katanya ketika
bersiaran langsung di Buletin AWANI pada Ahad.
Tambah
beliau, usaha sebegitu perlu dilakukan memandankan tiada peruntukan
undang-undang yang membenarkan SPR mewujudkan pusat mengundi di negara
lain.
Dalam pada itu, Manimaran mencadangkan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura dilantik sebagai pegawai pengurus pilihan raya.
Bahkan,
beliau turut mencadangkan pejabat pesuruhjaya dijadikan tempat mengundi
dan pengumpulan undi buat rakyat Johor mengundi calon mereka dalam
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Astro AWANI
sebelum ini melaporkan SPR perlu mewujudkan satu kaedah undi pos bagi
membolehkan lebih 400,000 rakyat Malaysia termasuk pengundi Johor di
Singapura untuk mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
Cadangan itu dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
No comments:
Post a Comment