Kuang: "Saya nampak perubahan Daniel, dia benar-benar sudah insaf dan juga sudah meminta maaf, saya sendiri sudah memaafkannya," kata Rosli Sidek, 65, datuk kepada remaja yang dimandikan ala jenazah, Daniel Iskandar, 19, selepas cubaan mencuri tabung masjid sehingga tular di media sosial.
Menurutnya, dia juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak dan pertemuan hari ini dapat meleraikan apa yang terbuku selama ini.
"Kita dapat satu kata putus untuk saling bermaaf-maafan lebih-lebih lagi diadakan di masjid satu tempat mulia bagi orang Islam.
"Kita tidak mahu lagi anasir luar mengambil kesempatan menghina Islam kononnya orang Melayu Islam melakukan keganasan...ini mengecewakan saya," katanya ketika ditemui selepas pertemuan antara keluarga Daniel dengan pihak pengurusan Masjid Al Islahiah di sini, hari ini.
Pertemuan itu turut dihadiri Pengerusi Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Timbalan Mufti Selangor Prof Madya Dr Miszairi Sitiris.
Menurutnya, Daniel masih muda dan mungkin dia bergaul dengan rakan-rakan yang salah serta tidak mendapat didikan yang baik.
"Daniel sekarang pun sudah diambil oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ditempatkan di satu pusat untuk merawatnya," katanya.
Menurutnya, dia diduga dengan tiga musibah apabila kehilangan abang ipar dan isteri sebelum dua minggu kemudian kejadian menimpa Daniel pula.
"Bagaimanapun saya perlu tabah dan menganggap ini ujian dari Allah.
"Cuma saya sedih apabila kejadian ini disensasikan dan ada tokok tambah hingga mendapat kecaman dari pelbagai pihak," katanya.
Dia juga tidak mahu menuding jari dan menyalahkan sesiapa serta pertemuan hari ini dapat mencapai kata sepakat berdamai.
No comments:
Post a Comment