SENARIO politik negara ketika ini semakin panas apabila kepimpinan UMNO dan Pas dilihat seolah-olah saling menyerang antara satu sama.
Situasi itu mendapat perhatian Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali yang berpendapat kedua-dua parti tersebut perlu berdamai.
Menurut Mohd. Khairuddin, UMNO dan Pas perlu berhenti menyerang antara satu sama lain dan menghormati pilihan masing-masing.
“Sekiranya UMNO dan Pas gagal untuk bersatu pada platform politik pilihan raya, kita masih bertanggungjawab menjaga muafakat umat untuk pelbagai lagi kepentingan.
“Budaya Politik Matang Sejahtera masih menjadi sebahagian dasar Pas dalam membawa politik dakwah. Usahlah serang menyerang. Ambillah politik damai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menzahirkan kekesalan terhadap pemimpin UMNO dan menyifatkan parti tersebut seperti itik patah kaki.
Tindakan itu mendapat perhatian Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang berpendapat perkara itu sudah menjadi lumrah buat pemimpin Pas.
Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata, Pas dan UMNO perlu terus memperjuangkan perpaduan umat walaupun ada pihak yang tidak senang dengan Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk sebelum ini.
Katanya, kedua-dua parti tersebut perlu terus berjuang bersama dari sudut agama, ekonomi, sosial dan pendidikan demi kebaikan rakyat.
No comments:
Post a Comment