Kuala Terengganu: Mengesan pemandu, penunggang dalam pengaruh dadah menjadi antara keutamaan penguatkuasaan Ops Tahun Baru Cina (TBC) 2022 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu dalam usaha mengurangkan kemalangan jalan raya.
Sehubungan itu, JPJ tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan tegas terhadap pengguna jalan raya yang terbabit dengan kesalahan itu terutamanya penunggang motosikal.
Pengarah JPJ Terengganu Zulkarnain Yasin berkata, memandu dan menunggang dalam keadaan khayal menjadi antara punca kemalangan selain sikap tidak berhemah ketika memandu dan cuai.
"Sehingga 11 malam ini, pihak AADK (Agensi Antidadah Kebangsaan) sudah melakukan ujian saringan air kencing terhadap 23 pengguna jalan raya dan daripada jumlah itu, seramai tiga pengguna jalan raya dikesan berada dalam pengaruh dadah dengan masing-masing dua orang berusia 41 dan seorang lagi berusia 47 tahun.
"Ketiga-tiga individu terbabit adalah penunggang motosikal dan ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine," katanya dalam sidang media ketika mengetuai Ops TBC 2022 sempena Pelancaran Ops Peringkat JPJ Terengganu di Jambatan Sultan Mahmud di sini, hari ini.
Ops TBC 2022 dijalankan selama dua minggu bermula 25 Januari lalu hingga 8 Februari ini membabitkan kerjasama pegawai dan anggota AADK, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan keseluruhan anggota seramai 127 orang.
No comments:
Post a Comment