Ipoh: Ratusan rumah mengalami kerosakan akibat angin ribut dan puting beliung di beberapa kawasan termasuk sekitar Kampung Tawas dan Taman Tasek Damai di sini, hari ini.
Kejadian itu menyebabkan penduduk di Kampung Tawas yang kebanyakannya didiami masyarakat Cina berasa sedih kerana bakal menyambut tahun baharu hanya dua hari lagi.
Menurut seorang mangsa Teoh Boh Chee, 60-an, dia terkejut apabila tiba-tiba terdengar bunyi angin kuat pada 6 petang.
"Saya sedang memasak ketika itu dan melihat sendiri bumbung rumah tercabut lalu diterbangkan angin.
"Saya tidak tahu apa perlu dilakukan kerana Tahun Baharu Cina hanya dua hari lagi...bagaimana kami hendak menyambutnya dalam keadaan begini," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, hari ini.
Seorang peniaga, Yong Chee Fong, 35, berkata dia bersyukur kerana 10 pelanggan dan beberapa orang pekerja yang berada di kedai makannya terselamat daripada kejadian bumbung runtuh akibat kejadian ribut berkenaan.
"Sudah 10 tahun saya berniaga makanan di sini, tetapi ini pertama kali terjadi ribut yang teruk dan banyak peralatan di kedai rosak," katanya.
Seorang lagi penduduk, Mita Devi, 36, berkata, dia melihat sendiri kejadian 'puting beliung' yang berlaku kira-kira 20 minit dan menerbangkan atap rumah.
"Saya hanya mampu berdoa agar kami sekeluarga terselamat dan syukurlah rumah kami tidak mengalami kerosakan terlalu teruk," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran ketika melawat lokasi kejadian berkata semua mangsa diminta membuat laporan polis bagi memudahkan proses penyaluran bantuan kewangan daripada pejabatnya dan kerajaan negeri.
"Kita anggarkan ratusan rumah yang terbabit di dua kawasan ini, jadi diharapkan mangsa buat laporan polis segera supaya memperoleh bantuan," katanya.
No comments:
Post a Comment