Monday, January 3, 2022

KWSP tidak patut dilihat penyelesaian sesuatu cabaran – Tengku Zafrul

SEMUA pihak tidak sewajarnya melihat simpanan persaraan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai satu-satunya penyelesaian kepada sesuatu cabaran, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Dalam satu video dimuat naik ke akaun Facebook beliau, Tengku Zafrul berkata, tujuan penubuhan KWSP tidak lain hanya sebagai persediaan kepada hari tua rakyat apatah lagi Malaysia bakal mencapai negara tua menjelang tahun 2030.

Menurut beliau, tiga program pengeluaran simpanan KWSP iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra diperkenalkan kerajaan sebelum ini hanyalah sebagai langkah jangka masa pendek serta bersifat sementara akibat pandemik.

Secara keseluruhan, beliau berkata, banyak bantuan telah dihulurkan kerajaan bagi membantu rakyat, tidak kira sama ada akibat bencana mahu pun COVID-19.

Tengku Zafrul menegaskan, desakan menuntut pengeluaran tambahan simpanan KWSP dilihat sebagai modal politik mudah.

Bagaimanapun, kata beliau, tuntutan tersebut tidak dibuat dengan sikap bertanggungjawab dan dilakukan secara melulu tanpa analisis serta perkiraan rapi.

“Setakat hari ini, melalui i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra, setiap ahli KWSP telah dibenarkan untuk mengeluarkan sehingga RM71,000, jumlah yang bukan sedikit.

“Kalau kita terus benarkan pengeluaran, apa akan jadi kepada simpanan hari tua mereka.

“Kita tidak boleh membenarkan pengeluaran simpanan KWSP untuk semua bencana. Hampir setiap tahun negara dilanda banjir, mungkin akan ada bencana lain seperti tanah runtuh, kebakaran dan sebagainya.

“Kalau untuk setiap bencana ini kita nak keluarkan simpanan KWSP, sampai bila-bila pun simpanan hari tua ini tidak tercapai matlamatnya,” katanya menerusi rakaman video itu hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, ketiga-tiga program pengeluaran simpanan KWSP sebelum ini telah membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM101 bilion.

Katanya, desakan daripada beberapa pihak untuk mengadakan pengeluaran tambahan itu juga akan menjejaskan lagi isu kekurangan simpanan persaraan yang kini telah pun berada pada tahap amat membimbangkan.

Sebagai contoh, Tengku Zafrul memberitahu, median simpanan ahli B40 adalah sebanyak RM1,000 dengan jika jumlah itu kekal hingga hari persaraan, seseorang individu itu hanya mempunyai RM4 sebulan untuk tempoh 20 tahun.

Bagi ahli M40 pula, kata Tengku Zafrul, jumlah tersebut adalah RM25,000 dengan mereka hanya mempunyai RM104 sebulan semasa hari persaraan bagi tempoh sama.

“Hakikatnya hampir 50 peratus atau lebih kurang enam juta pencarum mempunyai baki caruman kurang daripada RM10,000.

“Pendek kata, golongan ini tidak akan mendapat faedah pun jika pengeluaran tambahan i-Citra ini dibenarkan, malah 74 peratus daripada golongan ini adalah bumiputera.

“Lebih membimbangkan lagi 79 peratus daripada golongan mempunyai simpanan kurang daripada RM1,000 juga adalah bumiputera.

“Percayalah dalam menggubal dasar, kerajaan perlu bertanggungjawab dalam memastikan kebajikan bukan sahaja untuk jangka pendek tetapi juga kesejahteraan jangka panjang rakyat,” jelas beliau.

No comments: