Monday, January 3, 2022

10,000 dijangka terkesan penangguhan sementara umrah

Gambar FB Haramain.

KIRA-KIRA 10,000 jemaah dijangka terkesan ekoran keputusan kerajaan menangguhkan sementara ibadah umrah disebabkan penularan jangkitan varian baharu Omicron.

Menurut laporan BH Online yang memetik Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd. Sham, jumlah tersebut melibatkan kira-kira 5,000 jemaah yang sepatutnya bertolak ke Arab Saudi bulan ini.

Kata beliau, kadar selebihnya jemaah dijadualkan terbang ke Arab Saudi pada bulan Februari dan Mac.

Razali memaklumkan, pihaknya mengambil maklum kepentingan mengawal jangkitan COVID-19, namun perkara itu perlu mengambil kira kepentingan agensi mengendalikan umrah serta bakal jemaah.

“Justeru, PAPUH dan agensi pelancongan yang mengendalikan umrah meminta kerajaan untuk menarik semula penangguhan perjalanan umrah yang diumumkan semalam,” katanya.

Mengulas lanjut, Razali berkata, kerajaan diminta melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dengan menetapkan syarat kuarantin di stesen kuarantin atau hotel terpilih kepada jemaah.

“Kos untuk kuarantin boleh dikenakan kepada jemaah.

“Langkah itu lebih praktikal berbanding penangguhan sementara. Jemaah dapat mengerjakan umrah, agensi pelancongan pula tidak menanggung kerugian besar dan penularan wabak dapat dibendung,” jelas beliau.

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Januari ini bagi membendung penularan varian Omicron COVID-19.

Penangguhan itu adalah susulan kebimbangan terhadap penularan varian berkenaan akibat ketidakpatuhan jemaah umrah kepada prosedur kuarantin kediaman masing-masing yang menyebabkan berlakunya jangkitan dalam kalangan ahli keluarga.

No comments: