Jumaat, 19 November 2021

Tun Khalil di program BN, bersama Ahmad Zahid di DUN Lendu

Mohd Khalil Yaakob bersama Ahmad Zahid Hamidi di DUN Lendu hari ini./ Gambar media sosial

PADA awal kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebelum ini, kem Pakatan Harapan (PH) ‘galak’ berkongsi gambar kehadiran Tun Mohd Khalil Yaakob di program mereka di DUN Kuala Linggi.

Malah bekas Yang Dipertua Negeri Melaka itu sekali lagi muncul di program PH pada 16 November lalu dalam kehangatan politik Melaka menjelang hari pengundian pada Sabtu ini.

Mohd Khalil yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO dilihat hadir bersama pemimpin PH di DUN Ayer Molek yang terletak di bawah kawasan parlimen Hang Tuah Jaya.

Bagaimanapun, kurang 10 jam kempen PRN Melaka berakhir, pemimpin PH nampaknya terpaksa menggunakan modal lain apabila Mohd Khalil menghadiri kempen Barisan Nasional (BN) hari ini.

Beliau dirakam gambar bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di kawasan DUN Lendu sambil menikmati jamuan petang.

DUN yang terletak di Parlimen Alor Gajah itu ditandingi calon Ketua Menteri BN, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu sebelum ini menyifatkan kehadiran Mohd Khalil di program mereka sebagai satu bentuk endorsement kepada calon PH.

Bagaimanapun dengan kehadiran Mohd Khalil di program BN hari ini, apa pula isyaratnya Abang Mad? Endorsement kepada BN?

Tiada ulasan: