Jumaat, 5 November 2021

Taman Negara Tanjung Piai tumpuan saksi fenomena air pasang besar

PONTIAN: Fenomena air pasang besar yang menjadi tarikan utama di Taman Negara Tanjung Piai, di sini, masih berada pada paras normal, hari ini.

Pengurus merangkap Pegawai Penyelidik Taman Negara Tanjung Piai, Lili Tokiman, berkata berdasarkan makluman Jabatan Laut Malaysia (JLM), paras air masih terkawal dengan mencecah 3.2 meter (m) dari paras laut.

"Taman Negara Tanjung Piai adalah antara kawasan utama bagi melihat air pasang besar kerana jika berlaku, air akan terus menyusuri fasiliti kami. Ia antara tarikan unik yang ditunggu-tunggu pengunjung sekiranya datang ke sini, setiap hujung tahun.

"Ketika ini, perairan di kawasan sekitar masih berada pada paras rendah 3.2m dan untuk berlaku limpahan, ia perlu mencecah 3.5m.

"Bagaimanapun, kita menjangkakan ia berlaku pada Sabtu ini. Kawalan dan pemantauan akan terus dilakukan bagi memastikan keselamatan pengunjung," katanya.

Sementara itu pengunjung, Siti Rohani Manap, 58, berkata beliau bersama suami, Abdul Majid Said, 62, tiba sejak awal pagi tadi untuk tidak melepaskan peluang menyaksikan fenomena alam berkenaan.

"Kami sekeluarga dari Ayer Baloi memang sering berkunjung ke sini untuk beriadah, lebih-lebih lagi fenomena ini hanya dapat dilihat pada penghujung tahun," katanya.

Tiada ulasan: