Khamis, 25 November 2021

Tabung Haji tidak buat tawaran percepat giliran haji

tabung haji

LEMBAGA Tabung Haji tidak pernah melantik mana-mana organisasi atau orang perseorangan untuk menjadi perantara dalam hal-hal berkaitan tawaran atau pakej haji.

Sehubungan itu, Tabung Haji dalam kenyataan menasihati orang ramai supaya berwaspada dan tidak terpedaya dengan mana-mana pihak yang menawarkan sebarang bentuk dana bagi tujuan mengerjakan ibadah haji melalui panggilan telefon.

Menurut Tabung Haji, pihaknya menerima laporan daripada pendeposit yang mendapat panggilan menawarkan dana haji bagi mempercepat giliran haji.

Katanya, pemilihan giliran kekal berdasarkan sistem pendaftaran di mana yang dahulu akan didahulukan.

“Baru-baru ini Tabung Haji menerima laporan daripada pendeposit bahawa ada individu tidak bertanggungjawab yang menawarkan dana haji untuk membolehkan mereka menunaikan haji dengan lebih cepat.

“Pemilihan giliran menunaikan haji adalah berdasarkan sistem pendaftaran di mana yang dahulu didahulukan.

“Tabung Haji berharap orang ramai agar lebih berhati-hati apabila menerima sebarang tawaran dana bagi urusan haji daripada pihak tidak dikenali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tiada ulasan: