Khamis, 25 November 2021

Berita palsu jejas pemulihan sektor umrah

Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel & Services Sdn Bhd (THTS), Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali (dua dari kiri) bertukar memorandum perjanjian dengan Pengarah Urusan Cargomind Sdn Bhd (CMSB), Zahrol Ahmad (dua dari kanan) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Perniagaan Perkhidmatan Kurier TH Travel & Services Sdn Bhd (THTS) dan Cargomind Sdn Bhd (CMSB) di Menara Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

SEKTOR pelancongan ibadah umrah yang sedang semakin pulih akibat kesan pandemik COVID-19 boleh terjejas ekoran penyebaran berita palsu.

Memetik laporan BH Online, Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel & Services (THTS), Datuk Ahmad Ruzman Ahmad berharap semua pihak lebih berhati-hati apabila merujuk sumber berita terutama sumber digital luar negara.

Kata beliau, semua pihak perlu mendapatkan maklumat yang sahih mengenai garis panduan pelaksanaan umrah dikeluarkan sendiri Kerajaan Arab Saudi.

“Rujuk kepada sumber yang boleh dipercayai seperti maklumat dikeluarkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi serta saluran media rasmi negara itu.

“Apabila berita tidak benar disebarkan, ia menyukarkan kami dan juga Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang kini sedang cuba menghidupkan kembali sektor umrah dengan cepat melalui konsep gelembung perjalanan.

“Bila ada berita begini, ia menyebabkan kita terkebelakang dan menjadi kekangan selain memberi kejutan kepada mereka yang berhasrat menunaikan umrah terutama golongan berusia 60 tahun ke atas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis menandatangani Perjanjian Usahasama Perniagaan Perkhidmatan Kurier antara THTS dan Cargomind Sdn. Bhd. (CMSB), hari ini.

Sebelum ini, portal berita Gulf News mendakwa Arab Saudi mengehadkan permit bagi umrah untuk jemaah warga asing kepada golongan berusia antara 18 hingga 50 tahun sahaja.

Berdasarkan kenyataan didakwa dipetik daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi itu, setiap jemaah warga asing juga diwajibkan mengambil suntikan lengkap vaksin COVID-19 yang diiktiraf Arab Saudi.

Bagaimanapun, Ahmad Ruzman dalam laporan BH Online semalam memaklumkan, pihaknya sudah berhubung dengan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi yang memberitahu tidak pernah mengeluarkan arahan sedemikian sekali gus menafikan dakwaan portal berkenaan.

Tiada ulasan: