Isnin, 8 November 2021

SPR disaran anjur debat ‘live’ calon-calon Ketua Menteri

MALAYSIA POST

SPR disaran anjur debat ‘live’ calon-calon Ketua Menteri

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) dicadangkan supaya menganjurkan debat secara langsung antara calon-calon Ketua Menteri Melaka daripada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) serta Perikatan Nasional (PN).

Cadangan itu dikemukakan Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong susulan larangan berkempen secara bersemuka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“PRN Melaka mencabar kerana sukar bertemu dengan pengundi akibat prosedur operasi standard (SOP) kempen.

“Saya cadang supaya SPR anjurkan debat “live” di antara calon-calon Ketua Menteri Melaka daripada PH, BN dan PN,” kata Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP itu menerusi ciapan di Twitter.

Beliau berkata bekas Ketua Menteri yang juga Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari boleh mewakili PH dalam debat tersebut memandangkan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil itu adalah calon Ketua Menteri PH.

“Tapi siapa wakil BN dan PN? Sulaiman (Md Ali), Ab Rauf (Yusoh), Mohd Rafiq (Naizamohideen) atau Mas Ermieyati (Samsudin)?,” soalnya.

Terdahulu hari ini SPR mengumumkan aktiviti ziarah oleh calon atau penyokong parti ke rumah-rumah pengundi dan walkabout tidak dibenarkan sepanjang kempen PRN Melaka.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata bagi mematuhi penjarakan fizikal, ceramah yang menghimpunkan orang ramai juga tidak dibenarkan.

“Calon boleh memaksimumkan kaedah kempen menggunakan medium atas talian atau melalui saluran media massa dan media sosial,” katanya menerusi kenyataan.

Abdul Ghani berkata ia antara prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 bagi PRN Melaka yang diluluskan Kementerian Kesihatan (KKM) semalam. – Malaysiapost

Tiada ulasan: