Khamis, 25 November 2021

Semua negeri setuju pinda Undang-Undang Tubuh – PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bergambar bersama Menteri-Menteri Kanan; Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri dalam mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri, semalam.

SEMUA Menteri Besar dan Ketua Menteri bersetuju untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing.

Keputusan berkenaan bagi membolehkan individu berusia 18 tahun menjadi calon Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas mempengerusikan mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) Ke-137, semalam.

Menurut Perdana Menteri, semua Menteri Besar dan Ketua Menteri telah dijemput menghadiri mesyuarat pada kali ini selaras dengan semangat Keluarga Malaysia sebagai satu pendekatan inklusif.

Dalam mesyuarat itu, Ismail Sabri turut memaklumkan, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed telah membentangkan Belanjawan 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) kepada Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri.

“Semua Menteri Besar dan Ketua Menteri bersetuju meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan individu berusia 18 tahun menjadi calon PRU, PRN dan PRK.

“Mesyuarat turut bersetuju supaya lebih banyak sesi libat urus antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri terutama melibatkan projek-projek pembangunan di negeri-negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan menubuhkan Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negeri (MED4IR Negeri) bagi tujuan penyelarasan inisiatif digital di peringkat negeri dan Persekutuan.

“Ia akan turut meneliti caj dan fi perkhidmatan agensi kerajaan serta pihak berkuasa tempatan yang menyebabkan kadar bayaran perkhidmatan telekomunikasi yang tinggi dan membebankan rakyat,” jelas beliau.

Tiada ulasan: