Sabtu, 20 November 2021

Selepas rawatan di luar negara, Zahid kembali bertugas

MALAYSIA POST

Selepas rawatan di luar negara, Zahid kembali bertugas

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi kembali bertugas sebagai Ahli Parlimen dan Presiden Umno semalam setelah menjalani rawatan di luar negara akibat sakit belakang.

Menerusi satu hantaran di Facebooknya malam tadi, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memaklumkan beliau telah selesai menjalani kuarantin di rumah setelah pulang dari luar negara tempoh hari.

“Terima kasih kepada semua sahabat dan rakan seperjuangan alam maya saya yang sentiasa mendoakan kesembuhan kesihatan buat saya.

“Syukur Alhamdulillah saya juga telah dibenarkan kembali bertugas setelah menjalani ujian swab dan kuarantin di rumah selepas pulang dari menjalani rawatan tempoh hari. Terima kasih kepada semua,” katanya.

Pada 30 Oktober lalu, Ahmad Zahid berlepas ke Jerman bagi mendapatkan rawatan pakar susulan sakit belakang dan leher dialaminya.

Sebelum itu, Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah dan rasuah, memohon di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Shah Alam supaya pasportnya dikembalikan sementara.

Ia bagi membolehkannya ke Munich, Jerman untuk mendapat rawatan membabitkan sakit belakang dan leher yang dialaminya.

Kedua-dua mahkamah berkenaan membenarkannya ke Jerman dan memulangkan sementara pasportnya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: