Sabtu, 20 November 2021

‘Kenyataan MB Terengganu tidak tepat, mengelirukan’ – Rahman Dahlan

 MALAYSIA POST

‘Kenyataan MB Terengganu tidak tepat, mengelirukan’ – Rahman Dahlan

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyifatkan kenyataan Menteri Besar Terengganu berkenaan rundingan pembahagian kerusi di antara Umno, Bersatu dan PAS bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah tidak tepat dan mengelirukan.

Beliau berkata, dakwaan yang dibuat Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan Umno ingkar kepada persetujuan agihan kerusi tersebut juga adalah tidak tepat.

“Apa yang berlaku dalam rundingan kerusi di antara Umno, Bersatu dan PAS dan saya tahu kerana saya adalah wakil daripada Umno. Tidak ada satu persetujuan yang dicapai dalam rundingan tersebut.

“… seperti mana yang didakwa Menteri Besar Terengganu, kononnya Umno ingkar dengan keputusan dicapai kerana seorang individu yang digelarkan ‘abang long’ telah membuat keputusan untuk tidak menghormati persetujuan tersebut.

“Dalam perundingan ini, satu masalah yang besar apabila parti Perikatan Nasional (PN), Bersatu meletakkan syarat yang terlalu ketat dan tidak munasabah yang tidak diterima oleh Umno,” katanya dalam rakaman video di Facebook miliknya.

Beliau berkata, dalam rundingan 27 Oktober lalu, PN meletakkan syarat yang sukar diterima apabila Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyatakan Umno tidak dibenarkan meletakkan ramai calon sehingga memungkinkan parti itu membentuk kerajaan secara bersendirian.

“Alasan beliau ialah Umno mungkin tidak akan memberikan jawatan EXCO, ahli majlis dan ketua kampung kepada Bersatu dan PAS,” katanya.

Abdul Rahman berkata, sepatutnya kebimbangan PN itu tidak timbul kerana Umno bersedia memasukkan butiran tersebut dalam perjanjian bertulis.

“Namun, syarat kedua pula, Bersatu mahu menentukan siapa calon ketua menteri dari Umno.

“Kedua-dua syarat itu tidak boleh diterima oleh Umno, Ketua Menteri ini datang dari Umno, dan biarlah Umno yang menentukan siapa calon Ketua Menteri dalam PRN Melaka ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, dakwaan dibuat Ahmad Samsuri sebenarnya jauh daripada fakta sebenar.

“Mengenai kehendak Bersatu agar Umno tidak bertanding di banyak kerusi, ia juga tidak boleh diterima berdasarkan kepada fakta.

“Umno tidak mahu berunding kerusi dengan hanya mengambil kerusi Melayu, kemudian dibahagi dua – sebahagiannya diberikan kepada BN, (manakala) sebahagian lagi kepada PN.

“Itu adalah formula yang tidak boleh diterima, dan pada saya sendiri, itu adalah formula yang menidakkan potensi terbaik untuk memenangi kerusi-kerusi tersebut,” katanya.

Beliau berkata, sepatutnya rundingan pembahagian kerusi di antara BN dan PN itu dibuat mengikut kekuatan parti dan ia juga digunakan gabungan terbabit di Melaka.

Katanya, hal itu jelas berdasarkan cara PN membahagikan kerusi dalam kalangan parti komponen mereka.

“Bersatu bertanding di 15 kerusi, PAS hanya diberikan lapan kerusi. Bermakna Bersatu bertanding dua kali ganda lebih banyak daripada PAS. Jadi tidak ada juga pengagihan kerusi sama rata.

“Kenapa dengan Umno pula syarat yang dikenakan ialah Umno dan PN mesti bertanding hampir sama rata walaupun semua orang mengakui Umno mempunyai kekuatan jentera, keahlian dan cawangan yang jauh lebih besar daripada parti lain?” katanya.

Beliau berkata, dalam rundingan kedua, wakil Bersatu dan PAS meninggalkan bilik mesyuarat sebelum perbincangan tamat.

“Mereka keluar, walk out, meninggalkan Umno bersendirian di dalam bilik mesyuarat, tiada persetujuan dicapai sepertimana yang didakwa Menteri Besar Terengganu,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: