PAS mengajak rakyat Melaka membuat perubahan dengan memilih Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 November ini.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PN menghimpunkan parti-parti politik yang tidak ekstrem dan boleh bersatu serta bekerjasama.
“Apabila ada peluang, kita cuba bertanding di Melaka. Pas, Bersatu dan Gerakan bertanding di bawah satu simbol PN untuk menolak parti ekstrem.
“Satu pembaharuan mesti dilakukan dan jika rakyat Melaka mahukan perubahan maka mereka harus memilih PN,” katanya ketika berucap pada Pentas PRN Melaka malam ini.
Program ceramah yang disiarkan secara langsung menerusi media sosial itu menampilkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ketua-ketua parti PN.
Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN kemudian mengakhiri ucapannya dengan serangkap pantun:
“Di atas robohan Kota Melaka,
Papan cengal kita tegakkan,
Penipuan PH terhadap Melaka,
Perikatan Nasional kita tegakkan,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau berkata, Pakatan Harapan (PH) adalah gabungan parti politik yang tidak ada prinsip.
Katanya, apa yang berlaku di Melaka jelas menunjukkan perkara itu apabila mereka terlibat bersama Datuk Seri Idris Haron mencetuskan suasana tidak menentu sehingga membawa Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Ini memang betul. Masa ada khabar angin empat ADUN nak tarik sokongan kepada kerajaan negeri, DAP paling awal kata tak akan sokong mereka.
“Namun, siapa bersama mereka (empat ADUN) sekarang kalau bukan DAP?,” jelasnya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan