Jumaat, 12 November 2021

Bunuh dan tinggal mayat teman wanita di tepi sungai, penganggur didakwa

SEORANG penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping hari ini atas pertuduhan membunuh teman wanita sendiri yang mayatnya ditemukan dalam keadaan reput di tepi Sungai Jebong, Kuala Sepetang bulan lepas.

Mohd Khairul Nizam Ibrahim, 34, mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurfarah Syahidah Mohd Noh.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mohd Khairul Nizam didakwa melakukan perbuatan itu ke atas Norfahizatul Syahira Sopa, 32, di sebuah bilik di tepi Sekolah Kebangsaan Simpang, Jalan Taman Mawar, Simpang pada kira-kira 2 petang 4 Oktober lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 20 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Syaza Ariffin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.- BERNAMA

Tiada ulasan: