Isnin, 22 November 2021

Pemandu pitam sebelum kereta rempuh kedai perabot

Oleh NURAINA HANIS ABD. HALIM

PETALING JAYA: Kejadian kereta yang merempuh kedai perabot di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Kampung Pasir, Ampang dekat sini semalam sehingga mengakibatkan seorang pekerja maut ekoran pemandu tersebut hilang kawalan dipercayai akibat pitam. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 petang itu,  seorang lelaki tempatan berusia 20-an disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Ampang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, keputusan ujian saringan air kencing dan ujian pernafasan untuk mengesan paras alkohol dalam badan pemandu kereta itu adalah negatif.

“Siasatan awal mendapati kereta Proton Preve dipandu lelaki itu dalam perjalanan dari Kajang ke Raub, Pahang.

“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandunya hilang kawalan dipercayai pitam dan tidak sedarkan diri semasa melalui jalan terbabit lalu terbabas dan merempuh masuk ke sebuah kedai perabot,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Farouk berkata, sampel darah pemandu kereta berusia 30-an itu turut diambil untuk dianalisis.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saksi bebas yang menyaksikan kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat dan boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, Inspektor Navine Gunasegaran,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: