Isnin, 22 November 2021

[PARLIMEN] Rakyat benci ‘katak politik’ – Nazri

Oleh ZAREEN HUMAIRAH SEJAHAN
NAZRI AZIZ

KUALA LUMPUR : “Sebenarnya rakyat dah menyampah, benci, bosan dan meluat dengan ahli-ahli politik yang langsung tidak meletakkan kepentingan rakyat atas kepentingan peribadi.”

Demikian ucapan perbahasan Datuk Seri Nazri Aziz [Padang Rengas- BN) yang terus menggesa supaya pihak Parlimen mengambil serius dalam melaksanakan Akta Antilompat Parti secepat mungkin.

“Dalam perbahasan Bajet 2021, saya telah bercakap dengan begitu panjang lebar berkenaan dengan akta antilompat parti tetapi setahun sudah berlalu dan kita lihat tiada apa-apa yang dilakukan oleh pihak kerajaan mahu pun pihak parlimen.

“Apa yang telah berlaku, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang tidak diingini mana-manA pihak telah berlaku disebabkan perbuatan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dan menyebabkan pilihan raya negeri diadakan.

“Ini kalau nak ikutkan, dua kali pengkhianatan. Yang pertamanya, menolak keputusan PRU-14 yang menaikkan Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan dan yang keduanya apabila kerajaan yang dinaikkan itu dijatuhkan sekali lagi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Nazri berkata, susulan perbuatan pemimpin ‘katak’, pada hari ini, satu profesion yang sangat dikutuk oleh rakyat adalah ahli politik.

“Kita tidak mahu ini berlaku kerana pandemik Covid-19 belum berakhir dan pemulihan ekonomi sedang diusahakan pihak kerajaan dan kedua-duanya masih lagi masalah yang dihadapi oleh rakyat tetapi ahli-ahli politik yang mempunyai kepentingan diri telah membuat satu tindakan yang sekali lagi mengkhianati keputusan yang telah dibuat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Sebab itulah mereka yang telah lompat, apabila bertanding semula dan dihukum oleh rakyat,” katanya.

Nazri kemudian menggesa supaya Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun dan Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk mula menggerakkan perangkaan berkaitan perkara itu kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

“Kepada Tuan Speaker sebagai ketua dalam parlimen ini, dengan kadar segera untuk mengadakan jawatankuasa dan dipanggil semua parti untuk menghantar wakil menjadi ahli yang dipengerusikan oleh speaker sendiri supaya kita selesaikan perkara ini.

“Keduanya, saya minta kepada menteri undang-undang untuk mengambil inisiatif bawa perkara ini kepada jemaah menteri secepat mungkin supaya mungkin dapat dikerahkan Peguam Negara mengadakan kerangka dan penyiasatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: