Khamis, 25 November 2021

Pangkalan TUDM di kawasan berkepadatan tinggi antara tumpuan Dewan Rakyat

Dewan Rakyat bersidang hingga 16 Dis ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini dijangka mengupas isu pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berada di kawasan berkepadatan tinggi serta lokasi yang tidak lagi strategik.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, soalan itu bakal dikemukakan Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) kepada Kementerian Pertahanan pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri.

Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) pula akan mengajukan pertanyaan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengenai status penyertaan Malaysia dalam Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) memandangkan ia akan berkuat kuasa secara rasmi menjelang 1 Jan 2022.

Pada sesi soal jawab pula, Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) akan bertanya mengenai cara konsep Keluarga Malaysia dapat diterjemahkan menerusi dasar dan pelaksanaannya yang dirangka kerajaan agar tidak hanya tertumpu kepada kaum majoriti tetapi meliputi semua lapisan kaum dan bangsa.

Selain itu, Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) ingin tahu status terkini pelaksanaan Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik serta perkara-perkara yang dipersetujui antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).

Persidangan hari ini akan menyambung sesi perbahasan dan penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Selain MAFI, perbahasan dan penggulungan turut dijangka melibatkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Dewan Rakyat bersidang hingga 16 Dis ini.

Tiada ulasan: