Khamis, 25 November 2021

Adakah PH bakal hadapi tamparan lagi di Sabah?

Hasrat Pakatan Harapan Sabah untuk mencapai persefahaman dengan 
kerajaan negeri melalui SRA mungkin memudaratkannya, kata penganalisis. 
(Gambar PH Sabah)

KOTA KINABALU: Selepas menerima tamparan hebat di Melaka beberapa bulan selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan persekutuan, adakah Pakatan Harapan (PH) akan berdepan satu lagi halangan di Sabah, dengan ia mencadangkan Agenda Reformasi Sabah (SRA)?

Besar kemungkinannya begitu, kata penganalisis politik Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura.

Oh bersetuju dengan penegasan Naib Presiden Warisan Junz Wong bahawa kekalahan PH di Melaka adalah sebahagian besarnya disebabkan oleh MoU berkenaan.

Beliau berkata, PH boleh mengalami nasib yang sama di Sabah sekiranya pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menerima cadangan SRA.

“MoU persekutuan itu mengelirukan ramai penyokong PH sama ada ia masih benar-benar pembangkang atau kini secara tidak rasminya merupakan sebahagian daripada kerajaan,” katanya kepada FMT.

“Justeru, ramai yang memilih untuk tidak mengundi sehingga keadaan menjadi lebih jelas. MoU negeri berkemungkinan meletakkan PH dalam situasi yang sama di Sabah.”

Wong baru-baru ini berkata, prestasi PH yang tidak memuaskan pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka menjadi bukti rakyat tidak senang dengan keputusan pihak pembangkang menandatangani perjanjian dengan kerajaan.

PH Sabah membentangkan tujuh perkara dalam SRA kepada Ketua Menteri Hajiji Noor pada 15 Nov. Antara lainnya, ia mencadangkan beberapa reformasi politik dan pentadbiran bagi mengekalkan hak negeri bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pelan pemulihan ekonomi pasca Covid-19.

Gabungan itu berkata, ia mengalu-alukan jaminan Hajiji bahawa beliau akan membincangkan perjanjian itu dengan parti dalam kerajaan bagi mendapatkan kata sepakat.

Pemerhati berkata, intipati SRA, walaupun ia disesuaikan dengan keperluan dan isu negeri, adalah sama seperti MoU persekutuan, iaitu mencari titik persamaan untuk kerjasama dan seterusnya mewujudkan kestabilan politik.

Namun PH Sabah menafikan bahawa SRA itu adalah satu versi perjanjian yang ditandatangani di peringkat persekutuan.

Warisan enggan menjadi pihak dalam kerjasama itu, mempersoalkan keperluan pakatan di peringkat negeri sedangkan ia sudah wujud di peringkat persekutuan.

Pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) Lee Kuok Tiung bersetuju bahawa perjanjian sebegitu akan menghakis sokongan kepada PH.

“Ia hanya akan menjadi salah satu faktor kehilangan sokongan, tetapi pastinya bukan yang utama,” katanya kepada FMT.

“Terdapat banyak faktor lain juga seperti pemilihan calon dan mungkin juga manifesto yang akan memainkan peranan lebih penting.”

Romzi Ationg, juga dari UMS berkata, kita tidak seharusnya terlalu yakin bahawa SRA akan memudaratkan PH.

“Politik Sabah berbeza daripada politik Semenanjung,” katanya.

“Saya tak yakin akan wujud sentimen yang sama seperti di Melaka, walaupun pelbagai perkara boleh berlaku dalam politik.”

Beliau juga tidak percaya MoU itu menyebabkan PH kalah di Melaka. Sebaliknya katanya, kekalahan itu mungkin berpunca daripada masalah dalaman dan ketiadaan hala tuju yang jelas.

“Kegagalan PH menunaikan janji dan sikap pemimpinnya yang mempersoalkan ‘ketuanan Melayu’ semasa menjadi kerajaan juga menyumbang dengan ketara kepada keputusan sebegitu.”

Tiada ulasan: