Sabtu, 20 November 2021

Pandai belajar tidak bermakna senang dapat kerja

SALAM Sabtu, semua. Harap semua sihat belaka. Selepas pulang ke Kota Bharu, Sis demam dan semput yang teruk. Sampai sekarang masih belum elok lagi. Namun Sis kentalkan diri — dalam keadaan batuk, selesema dan semput ni, Sis terus bersama korang minggu ini untuk berbincang mengenai kehidupan.

Sis perasan, penulisan Sis berkaitan isi-isi hati dan pandangan soal dunia banyak dipuji dan lebih digemari korang, sebab Sabtu, semua orang nak relax, minum kopi dan habiskan masa sama ada dengan keluarga atau diri sendiri. Jadi, untuk minggu ni, Sis akan bincangkan perkara yang Sis rasa generasi muda risaukan seperti pekerjaan dan pelajaran.

Bila korang masuk belajar, sesetengah orang akan fikir nak settlekan cepat-cepat asalkan grad tapi ada pula jenis yang nak buat betul-betul masa belajar, nak dapat ANC dan nak belajar sebanyak mungkin sementara boleh. Bila korang masuk kelas, korang tahu siapa yang budak pandai yang selalu tanya soalan dan ada juga yang jenis hadir sebab kena datang.

Korang mesti fikir “Oh, budak pandai dia ni mesti masa depan cerah. Kerja confirm gaji besar,” tapi hakikatnya, tidak pun. Itu adalah satu stereotaip yang selalu diletakkan kepada budak “pandai” dan budak-budak pandai ni pun, dorang pun sebenarnya tak yakin dengan kepandaian dorang tu, malah dorang rasa lagi banyak tekanan sebab dorang diletakkan satu standard  yang tinggi sebab reputasi dorang sebagai “budak pandai”.

Satu pengajaran yang Sis dapat lepas habis belajar ni adalah, jangan sesekali fikir yang budak tak pandai belajar tak reti buat kerja. Pandai belajar dan pandai praktikal adalah dua benda yang sangat berbeza.

Sis banyak kawan yang masa exam tak dapat markah tinggi tapi bila buat assignment, dorang lagi bagus daripada orang lain. Sebab apa? Sebab dorang jenis pelajar yang pandai ‘di luar kertas’. Sesetengah orang dia rezeki lebih Tuhan beri, pandai-pandai dua-dua.

Kalau korang tak yakin sebab tengok budak -budak pandai lain, korang kena tahu satu je — ada benda korang boleh buat yang dorang tak boleh buat. Ingat Tuhan takkan beri semua. Kena yakin dengan apa yang korang boleh buat sebab itulah yang akan membezakan korang daripada orang lain.

Sesetengah orang, walaupun dia tak pandai, dia yakin dengan kebolehan dia dan sentiasa nak belajar untuk memperbaiki apa yang dia kurang kemudian, mereka akan praktikan benda tu.

Sebab tu Sis lega apabila banyak universiti dah mula pakai penilaian yang lebih kepada praktikal daripada ujian atas kertas sebab ujian tu tidak langsung menunjukkan kebolehan sebenar seorang pelajar. Ia memberikan peluang yang adil untuk semua orang dan tunjukkan potensi sebenar masing-masing.

Kalau dari segi pekerjaan pula, korang kena faham yang rezeki ni Tuhan dah susun untuk kita semua. Sebelum ni Sis bincangkan tentang kebahagiaan kita — yang tak semua akan sama.

Mungkin antara korang akan fikir yang sebab korang tak beberapa okay masa belajar, mungkin peluang dapat kerja tu pun rendah tapi sebenarnya tidak. Korang kena ingat semua orang yang hidup di dunia ni masih tengah belajar, setiap hari akan belajar benda baru. Budak pandai pun tetap ada benda yang dia kurang pandai.

Banyak dah kawan Sis, Alhamdulillah bekerja sama ada tetap atau separuh masa dan Sis bahagia untuk dorang. Walaupun sedikit sedih Sis tak bekerja tetap lagi tapi masih bangga dengan generasi Sis yang berusaha setiap hari. Ada yang memang pandai dan dapat kerja yang bagus tapi yang berusaha keras masa belajar pun bekerja. Sebab itu lah konsep rezeki — ia takkan diberi tanpa usaha.

Pandai bukannya bermaksud rezeki murah, tidak.

Kepada korang yang  masih fresh grad tapi tak bekerja lagi, jangan lah korang fikir sampai bila korang takkan bekerja, rezeki tu ada, hanya belum tiba.

Mungkin ada benda yang korang masih belum betulkan lagi sebelum korang bekerja atau mungkin Tuhan rasa korang masih rehat tak cukup atau mungkin korang takkan bersedia untuk pekerjaan tu kalau dah dapat.

Kehidupan masing-masing ada ketetapan lajuan tersendiri — ada yang laju tapi mungkin akan ada bonggol di hadapan dan ada yang perlahan tapi lalu jalan yang rata.

Jangan malu kalau takda kerja. Kalau orang lain cakap macam-macam kita biarkan saja sebab hanya diri korang je yang tahu betapa kuatnya korang berusaha setiap hari. Diri korang je yang tahu betapa serabutnya otak memikirkan masalah lain. Semuanya diri sendiri tapi itu bukan bermaksud tiada siapa yang akan faham situasi korang.

Yang bekerja pula, kalau rasa kurang mahir dengan apa yang korang tengah buat, tak pa. Tak salah untuk kita mengaku kita banyak kekurangan sebab orang atasan kita pun mungkin masih tengah belajar juga. Yang penting, kita sentiasa yakin dan buat yang terbaik. Mungkin ada yang akan cakap usaha kita tak cukup, tapi kita gunakan itu sebagai ruang untuk menambah baik diri kita.

Itu sahaja daripada Sis inggu ini. Maaf ya kalau takda isi atau banyak caca cela. Jika ada sebarang komen atau pendapat, boleh hubungi sis di warazulkiflee@gmail.com.

Salam Sabtu semua!

(*) Penulis adalah graduan kewartawanan UiTM.

Tiada ulasan: