Sabtu, 20 November 2021

Baka padi IS21 baharu berpotensi beri hasil tinggi – PM

 Oleh Afiq Mohd. Shah

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob GAMBAR: Abd Razak Aid

BAKA padi baharu IS21 yang dihasilkan Agensi Nuklear Malaysia diyakini berpotensi memberi hasil tuai yang tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia sekali gus dapat meningkatkan pendapatan pesawah jika diurus dengan baik mengikut garis panduan disyorkan kerajaan.

Menurut Ismail Sabri, baka padi IS21 mampu mengeluarkan hasil padi sehingga 9 tan sehektar mengikut kawasan penanaman.

Selain itu, Perdana Menteri memaklumkan, benih padi berkenaan berdaya tahan tinggi terhadap cuaca yang tidak menentu dan mempunyai rintah terhadap beberapa penyakit padi yang sering menyerang serta merugikan pesawah.

Beliau berkata, kos penanaman juga dapat dikurangkan sebanyak 10 hingga 20 peratus kerana penggunaan baja dan racun perosak yang kurang.

“Hasil tuaian juga boleh meningkat sebanyak 40 sehingga 67 peratus bergantung kepada kawasan tanaman dan amalan kultura petani.

“Inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menghasilkan varieti padi baharu IS21 ini adalah salah satu usaha pelengkap dalam usaha meningkatkan sekuriti makanan negara.

“Ia selaras dengan hasrat kerajaan bagi meningkatkan tahap sara diri padi negara seterusnya mampu mengurangkan kebergantungan kepada beras import pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Benih Padi IS21, hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, benih padi tersebut telah menerima pengiktirafan daripada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa serta Organisasi Agrikultur dan Makanan sempena Persidangan Agung kali ke-65 di Vienna, Austria, September lalu.

Menurut beliau, pengiktirafan yang diterima adalah bagi Anugerah Pencapaian dalam Bidang Biak Baka Mutasi Tanaman.

“Benih padi IS21 ini adalah bukti kejayaan kerajaan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Agensi Nuklear Malaysia yang telah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa. Syabas dan tahniah diucapkan.

“Saya berharap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan terus tampil dengan hasil penyelidikan serta pembangunan berkualiti yang mampu melakar lebih banyak kejayaan di masa hadapan,” jelas beliau.

Tiada ulasan: