Ahad, 21 November 2021

Menggigil lihat Agong depan gerai

 Nurul Huda Abhar

Menggigil lihat Agong depan gerai

“TAK sangka Tuanku sanggup keluar dari kereta bila saya beritahu baginda yang saya berasal dari Kuantan.”

Demikian diceritakan Lidia, 49, peniaga yang berpeluang bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda membeli buahan-buahan di gerainya berhampiran Kem Perdana, Sungai Besi kelmarin.

Yang di-Pertuan Agong singgah membeli buah di gerai Lidia
kelmarin

Menurut Lidia, pada awalnya beliau hanya mahu mengucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana sudi singgah ke gerainya membeli buah-buahan.

“Bila ucap terima kasih Tuanku, saya beritahu saya pun orang Kuantan, Tuanku terkejut lantas keluar dari kenderaan ke gerai saya.

“Menggigil saya semasa Tuanku betul-betul berada di depan gerai. Tak buat persediaan apa-apa. Lagipun orang penuh di sekeliling gerai, tambah dengan pegawai yang iring Tuanku,” katanya ketika ditemui Malaysiapost.

Biarpun itu bukan kali pertama Lidia bertemu Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, namun menurutnya pengalaman berbual mesra dengan Yang di-Pertuan Agong menguatkan lagi gelaran ‘Raja berjiwa rakyat’ yang dikaitkan dengan Tuanku.

Mohd Amirul tidak percaya Yang di-Pertuan Agong singgah membeli 
buah di gerainya

Katanya, keperibadian Yang di-Pertuan Agong saling tidak tumpah seperti Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang gemar mencemar duli melawat rakyat Pahang dan tidak kekok bergaul mesra dengan orang kampung.

“Keperibadiannya diwarisi daripada Almarhum Ayahanda Tuanku. Saling tak tumpah. Kami rakyat Pahang memang tahu Sultan akan turun padang sendiri ke kampung dan gerai-gerai kecil untuk lihat keadaan rakyat.

“Kelmarin juga Tuanku ada bertanya pada saya dan rakan, bagaimana keadaan perniagaan sekarang. Semua faham peniaga sekarang banyak terjejas sebab Covid-19. Semasa bertanya memang riak wajah Tuanku sangat mengambil berat.

“Tuanku memang sangat baik, walaupun bergelar Agong tetapi tidak kekok langsung untuk bergaul dengan kami. Saya bersyukur dan bangga negara kita ada Raja yang berjiwa rakyat seperti Tuanku,” katanya lagi.

Kelmarin, tular video Yang di-Pertuan Agong singgah memborong buah-buahan di gerai berhampiran Kem Perdana Sungai Besi.

Menerusi video berdurasi satu minit itu, Al-Sultan Abdullah beramah mesra dengan penjual buah-buahan dan memaklumkan dalam video tersebut wanita itu juga berasal dari Kuantan.

Seorang lagi peniaga gerai buah, Mohd Amirul Abdullah, 23, memberitahu beliau seperti tidak percaya Yang di-Pertuan Agong turut sudi membeli buah-buahan di gerainya.

Kata Mohd Amirul, perasaannya bercampur baur melihat Al-Sultan Abdullah turun dari kenderaan dan menuju ke gerai.

“Pertama kali berjumpa Tuanku saya gugup. Agong kita sangat peramah. Sempat baginda berpesan berniaga elok-elok dan jaga diri. Itu adalah momen yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: