Selasa, 16 November 2021

Kerusi kedai dobi pun kena curi

 Oleh ROSLIZA MOHAMED

SEORANG pekerja menunjukkan contoh kerusi plastik yang dicuri dari kedai dobi milik Nadia Badrul Hisham di Kota Kubang Labu, Wakaf Bharum Tumpat hari ini. - UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED

TUMPAT: Tiada rotan, akar pun jadi. Demikian boleh digambarkan aktiviti pencuri yang melarikan kerusi plastik dalam sebuah kedai dobi layan diri di Kota Kubang Labu, Wakaf Bharu, di sini semalam.

Pemilik kedai dobi tersebut, Nadia Badrul Hisham, 31, memberitahu Utusan Malaysia, dia tidak menyangka dua daripada enam kerusi yang disediakan dalam premis untuk kegunaan pelanggan dikebas pencuri.

Kata Nadia, selepas menyedari kerusi-kerusi tersebut hilang kira-kira pukul 8 pagi ini, dia segera memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sekitar kedai dobi miliknya itu.

“Dalam rakaman, jelas kelihatan individu terbabit melarikan dua kerusi plastik berwarna merah yang kami sediakan untuk kegunaan pelanggan sementara menunggu baju mereka selesai dicuci.

“Saya macam tidak percaya ada juga orang berani curi kerusi tersebut walaupun kita sudah pasang CCTV. Kedua-dua kerusi plastik yang hilang itu dianggarkan bernilai RM200,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Nadia berkata, setakat ini, dia belum membuat laporan polis, sebaliknya berkongsikan kejadian itu dalam Facebook tanpa mendedahkan identiti pencuri dan meminta individu itu segera memulangkan kerusi yang dicuri.

“Sebelum ini, pernah ada individu yang meminjam kerusi di kedai dobi saya, namun, memulangkannya semula. Sehubungan itu, saya mahu bersangka baik dan memberi peluang kedua kepadanya.

“Saya berharap individu yang melarikan kerusi tersebut segera memulangkan kerusi yang diambil dari kedai dobi saya. Jika tidak, kami tidak akan teragak-agak membuat laporan polis kerana identitinya sudah dikenal pasti,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: