Hulu Terengganu: Guru Penolong Kanan sebuah sekolah di Pekan, Pahang, meninggal dunia selepas lebih dua jam dirawat di Hospital Hulu Terengganu (HHT), di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata mangsa, Sohaimi Karim, 54, dari Taman Rendang Ixora, Pekan, dimasukkan ke hospital akibat parah selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terbabas setiba di KM 411.2, Jalan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2), berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R), Ajil, Kuala Berang, di sini, jam 3.20 petang.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa yang bersendirian menunggang Suzuki GSR 750 dipercayai dalam perjalanan pulang dari Pantai Batu Rakit, Kuala Nerus menuju ke Pekan.
"Sebaik tiba di susur berselekoh ke kawasan R&R Ajil, (arah Telemong-Ajil), mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal ditunggangi lalu melanggar pembahagi jalan sebelah kanan sehingga tercampak dan terjatuh ke kawasan berumput.
Akibat insiden itu, mangsa yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ubai, Pekan, parah pada dada dan dikejarkan ke HHT untuk rawatan kecemasan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Adli berkata, mangsa yang menerima rawatan di hospital itu disahkan meninggal dunia jam 5.44 petang.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk disaring ujian COVID-19 dan bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan