Isnin, 22 November 2021

Empat Rela dituduh tuntut elaun palsu RM59,520

Oleh NUR ANATI JUHARI

SHAROL Miza Samad (tengah) antara empat anggota Rela yang dituduh membuat tuntutan palsu di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini.

ALOR SETAR: Seorang penolong pegawai dan tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan membuat tuntutan palsu membabitkan elaun rondaan berjumlah RM59,520 dua tahun lalu.

Keempat-empat tertuduh iaitu Sahrol Miza Samad, 44, Siti Munirah Abdul Rahim, 35, Mohd. Khairul Anuar Maliki, 32; dan Idrus Zakaria, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.

Sahrol Miza semasa kejadian adalah Penolong Pegawai Pertahanan Awam KP32, Siti Munirah Pembantu Pertahanan Awam KP22 manakala Mohd. Khairul Anuar dan Idrus Pembantu Pertahanan Awam KP19.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa secara bersama memperdayakan Rela Kedah dengan menggunakan dokumen tuntutan elaun membabitkan jumlah pembayaran RM59,520 yang didakwa mengandungi butir palsu.

Tuntutan elaun tersebut didakwa untuk anggota Rela yang terlibat dalam  rondaan keselamatan sempena bulan kemerdekaan 2019 bagi daerah Kulim, sedangkan penugasan itu tidak dilakukan seperti dinyatakan dalam dokumen berkenaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Rela Kedah, Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini pada 10 September 2019. 

Pertuduhan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) Akta sama serta dibaca bersama  Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tan Sew Ping manakala tertuduh diwakili peguam, Burhanudeen Abdul Wahid. 

Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan mereka membayar jaminan dikenakan.

Kes akan disebut semula pada 27 Disember depan.- UTUSAN

Tiada ulasan: