Selasa, 23 November 2021

PRN Melaka: Pertembungan antara kiasi vs kiasu memenangkan BN

 Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Jangan ego tidak akan ada kemenangan mutlak jika bersolo

MENGADAKAN pilihan raya ketika pandemik menguntungkan politik Melayu, maka segerakan PRU15. MCA dan MIC jangan terlalu seronok, kerana kemenangan kamu bergantung kepada undi Melayu.

Apa yang berlaku di PRN Melaka tidak mustahil boleh menjangkiti Selangor dan Pulau Pinang, jika muafakat antara parti-parti Melayu dan Islam dapat diperkasakan dan PRU15 disegerakan dengan SOP ketat.

Budaya kiasi (takut mati) masih lagi mengatasi budaya kiasu (takut kalah) dalam masyarakat Cina menjadikan peratusan mengundi mereka menurun. Sudah tentu ia memberi kelebihan kepada UMNO dan parti-parti politik Melayu yang lain untuk menang.

Pokoknya, jangan terlampau ego, jangan tamak, sombong dan bongkak. Allah SWT tidak sukai sifat seperti itu.

Tidak akan ada kemenangan mutlak jika bersolo, meskipun PRN Melaka berjaya membuktikan. Negeri-negeri lain belum pasti.

Pokoknya, jika mahu teruskan momentum kemenangan, tidak mustahil dua pertiga di peringkat Parlimen, mesti ada muafakat. PH terutama PKR pasti akan menerima tamparan hebat dalam PRU15 akan datang.

Tidak dapat dinafikan, PRN Melaka, bukanlah kayu pengukur sebenar untuk mendabik dada bahawa turun secara solo itu menguntungkan UMNO (BN). Budaya politik Melaka berbeza sedikit dengan budaya politik Selangor. Begitu juga dengan Pulau Pinang.

Untuk menumbangkan PH (PKR) di Selangor terutamanya, seterusnya merampas negeri di bawah PH, tidak ada cara lain, bermuafakat, terutama antara UMNO dan PAS. PPBM mungkin tidak berahi, disebabkan sejarah permusuhan dengan UMNO. Sama seperti PAS dan PAN, sukar untuk disatukan.

PAS pula perlu mengkaji semula muafakat mereka dengan PPBM, jika mahu menambah kerusi di negeri-negeri lain, selain Kelantan, Terengganu dan Kedah. Tidak mustahil, Perlis boleh kembali semula kepada PAS, jika Muafakat Nasional diperkasakan.

Realiti politik yang sedia ada tidak membenarkan PAS memilih kedua-dua, bersama UMNO dan juga bersama PPBM. PAS mesti memilih salah satu. Sudah tentu kelebihan berpihak kepada memilih UMNO, kerana akar umbi UMNO kuat. Gabungan PAS sudah tentu UMNO bertambah kuat.

Persoalannya, apakah PAS berani membuat keputusan sedemikian? Sebenarnya, tidak mustahil jika PAS berkehendak.

Namun, jika PAS terus bertegas bersama PPBM (PN), sejarah PAS membuktikan, PAS boleh berdiri sendiri tanpa bantu parti lain.

Isunya, adakah PAS tidak sanggup kehilangan negeri lain, seperti Kedah, jika pun mungkin dapat mempertahankan Kelantan dan Terengganu? Mempertahankan Terengganu pada pengamatan saya, laluan yang agak sukar, jika muafakat gagal. Lambakan kedai vape dan penagihan dadah, semakin membimbangkan saya.

Apakah PAS tidak mahu menambah kerusi di negeri-negeri lain seperti Pahang, Johor, Perak, Negeri Sembilan, Perlis, Pulau Pinang dan lain-lain?

Elok juga pemimpin-pemimpin PAS yang ramai alim, buat sembahyang istikarah. Moga Allah memberikan petunjuk.

Yang jelas, realiti politik tidak membenarkan PAS memilih kedua-duanya antara UMNO-PPBM. Setakat ini mustahil untuk mereka bersatu, melainkan dengan izin Allah SWT pilihan PAS hanya satu, bersama UMNO atau PPBM.

Jika bersama UMNO, peluang PAS menambah kerusi dan berkuasa semula di Perlis tidak mustahil.

Justeru, mulakan rundingan daripada sekarang, sebelum terlambat. PRU15 perlu diadakan ketika pandemik ini kerana ia berpihak kepada parti-parti politik Melayu dan Bumiputera, jika politik kiasi terus menyelubungi dan menenggelamkan politik kiasu dalam masyarakat Cina.

Sejak dahulu, saya sudah perkatakan, budaya politik Cina masih terikat dengan kiasi. Budaya takut mati kiasi masih menyelubungi kiasu.

Sebab itu, janganlah terlalu manjakan MCA terutamanya terutama untuk bertanding di kawasan majoriti Melayu. Ia langsung tidak menguntung politik Melayu dan Islam, malah amat merugikan. Menjadi gunting dalam lipatan.

MCA mahu pun Gerakan, bukanlah rakan sejati, sejarah telah membuktikan, sekadar hiasan untuk menunjukkan Kabinet berwarna-warni bolehlah. Tetapi untuk mempercayai parti perkauman ini sepenuhnya adalah terlalu sukar. Perjuangan bangsanya kadang kala jauh lebih bahaya daripada parti ultra kiasu.

Parti-parti ini, bila-bila masa boleh melompat bila keadaan mungkin ‘merugikan’ bangsanya. Memberikan kawasan majoriti Melayu untuk ia bertanding dan kemudian menang, bukanlah pilihan yang bijak kerana ia akan memakan diri.

Terus terang, saya lebih mempercayai MIC daripada MCA, realiti politik yang sebenar. Rasis MIC tidak seteruk MCA, walaupun tidak dinafikan. Jika MCA ini benar-benar kuat dan ikhlas, tempat MCA bukan di kawasan majoriti Melayu, tetapi majoriti Cina, berhadapan dengan rakan ultra kiasunya DAP. Di situlah kekuatan MCA sebenarnya. Persoalannya, mampukah MCA menang di kawasan majoriti Cina?

Sebelum melabuhkan tirai, bapak ultra kiasu dalam ulasan terbaharunya mengenai PRN Melaka, nampak begitu gusar sekali, sekiranya kemenangan BN ini akan memberi laluan kepada Najib Razak akan kembali semula menjadi Perdana Menteri ke-10.

Perkara ini langsung tidak mustahil kerana sistem demokrasi yang kamu banggakan selama ini membenarkan. Jangan salahkan Najib Razak jika beliau kembali menjadi Perdana Menteri semula. Yang perlu dipersalahkan adalah sistem demokrasi itu. Demokrasi membenarkan rakyat memilih siapa sahaja yang mereka suka dan percayai.

Sama seperti apa yang berlaku kepada Donald Trump apabila terpilih menjadi Presiden Amerika Syarikat sebelum ini. Rakyat Amerika tahu siapa sebenarnya Trump, dengan latar belakangnya semua orang tahu. Tetapi rakyat Amerika tetap memilih Trump. Ini bukan salah Trump. Tetapi salah sistem demokrasi, kerana memberikan kuasa terhadap rakyat begitu besar meskipun memilih mereka yang tidak sepatutnya dipilih.

Kenyataan bapak ultra kiasu ini menjadi saya tertanya-tanya apakah ultra kiasu sudah kecewa dengan sistem demokrasi yang dibanggakan selama ini, atau bapak ultra kiasu tertarik dengan sistem Islam? Jika begitulah keadaannya, maka sokonglah sistem politik Islam dan RUU 355.

Akhirnya, apapun, sebagai rakyat jelata, saya tidaklah teruja sangat dengan apa yang berlaku dalam PRN Melaka, bak kata nukilan yang saya tidak pasti datang daripada siapa, tetapi izinkan saya petik kata-kata itu di sini.

Kemenangan atau kekalahan,
itu milik ahli politik.
Kehidupan mereka akan berubah.
bukan kehidupan kita.

Apa yang milik kita ialah keluarga, sahabat, dan jiran-jiran kita.

Jadi, apa sahaja keputusan,
jangan abaikan mereka semua.

Siapa sokong BN atas keyakinan dia maka sokonglah.

Siapa sokong PAS atas keyakinan dia maka sokonglah.

Siapa sokong PH atas keyakinan dia maka sokonglah.

Itulah asas demokrasi.

Jangan doakan kematian,
Jangan kutuk,
jangan caci.
jangan maki.
jangan fitnah.

Raikan perbezaan dan eratkan persaudaraan.
Kawan tetap kawan itu pasti,
tapi lawan tetap lawan hanya sokong politik,

Kita sakit siapa datang ziarah?
Kita mati siapa datang ziarah? .
Sembahyang jenazah siapa hantar ke kubur? ,
Talkin siapa amin kan?
Tahlil pun siapa yang datang?
Yang kita sokong menang tak datang pun,
Jadi jangan taksub pada calon dan parti.

Eratkanlah ikatan silaturahim sesama kita.

(tanpa nama, 2021)

Tiada ulasan: