Rabu, 24 November 2021

Ahli Parlimen Sepanggar bawa suara anak Sabah – Razeef

MALAYSIA POST

Ahli Parlimen Sepanggar bawa suara anak Sabah – Razeef

UCAPAN Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Azis Jamman berkenaan ‘Sabah keluar Malaysia’ bukan berunsur hasutan, sebaliknya hanya menerangkan pelanggaran janji berkaitan hak negeri itu.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Razeef Rakiman berkata, intimidasi terhadap wakil rakyat pembangkang tidak harus berlaku, apatah lagi apabila ruang yang digunakan adalah di dalam Dewan Rakyat yang mulia.

“Azis hanya menyentuh mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Perjanjian ini dibentuk dengan beberapa syarat yang jelas pada hari ini telah dicabuli kerajaan Persekutuan dengan menafikan hak negeri Sabah sebagai salah satu dari tiga entiti yang membentuk Malaysia.

“Mengambil contoh peruntukan untuk negeri Sabah dan Sarawak dalam Belanjawan 2022, beliau menyentuh mengenai ketidakadilan berkenaan jumlah peruntukan yang sangat kecil dan meletakkan Sabah setaraf dengan negeri-negeri kecil di Semenanjung, sedangkan umum mengetahui keluasan Sabah
sahaja sama seperti lima negeri Semenanjung digabungkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Razeef berkata, Sabah terlalu mundur dari segi pembangunan infrastruktur dan masih mengalami masalah dari segi bekalan air, bekalan elektrik, jalanraya, jambatan dan sekolah-sekolah usang.

Katanya, Sabah telah berada dalam Malaysia selama 58 tahun, namun ‘terpaksa’ membangun menggunakan lima peratus sumber hasil bumi wilayah itu, sedangkan selebihnya untuk pembangunan Kuala Lumpur.

“Di sini, jelas Azis membawa suara anak Sabah yang mahukan hak kami dikembalikan agar kami boleh menikmati pembangunan infrastruktur dan kemodenan setaraf semenanjung.

“Maka saya mendesak pihak berkuasa untuk berhenti mengganggu wakil rakyat pembangkang. Tindakan ini hanya menambah kemarahan rakyat Sabah terhadap penindasan kerajaan Persekutuan kepada Sabah,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: