Selasa, 23 November 2021

324 penduduk terjejas banjir kilat di Kulim

 Oleh AZAHAR HASHIM

Anggota APM Daerah Kulim memantau keadaan banjir di Kampung Padang Limau, malam ini.

KULIM – Seramai 324 penduduk di sembilan buah kampung di daerah ini terjejas dalam kejadian banjir kilat, malam ini.

Kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu melibatkan 81 buah rumah di lima kampung dalam mukim Karangan dan empat kampung di mukim Terap.

Lima kampung terjejas di mukim Karangan ialah Kampung Banggol Penyengat, Kampung Padang Patung, Kampung Seberang Jaya, Kampung Selarong Panjang dan Kampung Padang Limau.

Sementara empat kampung yang terjejas di mukim Terap pula ialah Kampung Gunung Bongsu, Kampung Terap, Kampung Sungai Tengas dan Kampung Batu 10.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam  (APM) Daerah  Kulim, Leftenan (PA) Mohd. Faizol Ab. Aziz memberitahu, kawasan tersebut dinaiki air selepas hujan lebat berterusan selama lebih tiga jam sejak pukul 4.30 petang tadi.

“Tiada mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana air surut dengan cepat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – K! ONLINE

Tiada ulasan: