Sunday, October 3, 2021

Warisan nafi 15 ADUN keluar parti

Oleh SURAIDAH ROSLAN

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) menafikan dakwaan 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) meninggalkan parti itu bagi menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Warisan, Azhar Matussin berkata, 15 ADUN Warisan tidak meninggalkan parti bagi menjadi ADUN Bebas dan mesra Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau yang juga ADUN Darau yakin kesemua ADUN Warisan yang dikhabarkan meninggalkan parti itu kekal dengan pendirian dan berjuang bersama Warisan bagi menghormati mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke -16.

“Saya bersama  rakan-rakan lain berpegang kepada prinsip yang dilafazkan untuk terus kekal sekali gus setia kepada kepemimpinan Presiden Parti Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azhar berkata, setakat ini beliau yakin rakan-rakan ADUN lain tetap fokus membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 sekali gus berusaha memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kita tetap fokus membantu rakyat yang memerlukan perkhidmatan di kawasan. Maka, kita tidak akan terpesong daripada pendirian asal untuk kekal berjuang bersama Warisan,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, dakwaan ADUN Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob keluar daripada Warisan untuk menjadi ADUN Bebas hanya sekadar khabar angin.

Malah, beberapa hari lalu, beliau bersama beberapa rakan lain duduk serta berbincang dengan Yusof mengenai hala tuju parti Warisan pada masa depan.  

“Dalam pertemuan itu tidak timbul soal beliau (Yusof) akan keluar meninggalkan parti seperti dikatakan,” katanya. 

AZHAR MATUSSIN

Azhar yakin, ADUN Sindumin adalah seorang rakan dan ahli politik yang matang untuk membuat keputusan.

“Dia (Yusof) sering memberi nasihat serta berkongsi pengalaman sepanjang kerjayanya dalam bidang politik,” ujarnya.

Terdahulu, sebuah portal menyatakan Yusof dan  ADUN Warisan lain akan menyusul meninggalkan parti itu bagi menjadi ADUN Bebas mesra GRS.

Pada Februari lalu, ADUN Sebatik, Hassan A.Gani Pg Amir bertindak keluar daripada Warisan dan menyertai Bersatu. – UTUSAN ONLINE

No comments: