Sekolah vernakular sudah lama jadi duri dalam daging integrasi nasional
BANGI – Kenyataan ‘putar belit’ pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan kaum Cina, Hua Zong berhubung sekolah vernakular jelas tidak masuk akal.
Sebelum ini, Hua Zong meminta kerajaan mengadakan perbincangan yang mendalam mengenai kedudukan sekolah vernakular di bawah Perlembagaan Persekutuan serta meminda atau memperkuatkan peruntukan yang relevan jika perlu.
Presiden Hua Zong, Tan Sri Goh Tian Chuan yang menggesa perkara itu berkata, ia bagi mengelakkan kedudukan Sekolah Jenis Kebangsaa Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) di bawah Perlembagaan terus dicabar.
“Kerajaan diminta mempertimbangkan keperluan untuk meminda peruntukan Perlembagaan bagi memperjelaskan dan menegaskan kedudukan sekolah vernakular, penggunaan serta pengembangan bahasa pengantar utamanya di bawah Perlembagaan Persekutuan bagi melindunginya daripada terus diputar belit dan dicabar,” katanya seperti dipetik Oriental Daily News Malaysia.
Bukan itu sahaja, Tian Chuan turut meminta kerajaan memantau secara aktif perkembangan mana-mana gerakan yang tidak mesra kepada pendidikan Cina, terutama yang mencabar kedudukan sekolah vernakular di bawah Perlembagaan di mahkamah.
Katanya, Hua Zong kecewa dan kesal terhadap tindakan pihak-pihak berkenaan yang telah membawa perkara ini ke mahkamah, kerana berpendapat usaha dan tindakan mencabar kedudukan sekolah vernakular di mahkamah adalah tidak perlu.
“Oleh itu, kami berharap agar kerajaan dan badan kehakiman dapat memantau kegiatan seperti ini, dan mengambil semua langkah yang sewajarnya bagi mempertahankan Perlembagaan dan keadaan negara yang sedia ada,” katanya.
Mengulas perkara itu, pemerhati politik, Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin menegaskan gesaan Hua Zong satu permintaan yang langsung tidak masuk akal.
Lebih pelik lagi baginya kerajaan masih tidak bertindak meskipun mengetahui bahawa sekolah vernakular menghalang integrasi nasional.
“Sekolah vernakular telah lama menjadi duri dalam daging yang menghalang integrasi nasional.
“Kini mereka cuba menuntut pindaan Perlembagaan untuk mengabsahkan mereka.
“Satu permintaan yang langsung tak masuk akal! Persoalannya bila kerajaan mahu bertindak?” soalnya.
No comments:
Post a Comment