Wednesday, October 27, 2021

KPM mahu pemutihan tanah segera diselesaikan untuk bina, naik taraf sekolah daif

 BERNAMA

Radzi berkata sekiranya tanah tapak pembinaan bangunan sekolah daif tidak menjadi tanah hak milik persekutuan, maka kerja-kerja pembinaan tidak akan dapat dijalankan.

Kementerian pendidikan (KPM) mahu isu pemutihan tanah di seluruh negara diselesaikan dengan kadar segera bagi membolehkan projek menaik taraf dan pembinaan semula sekolah daif dapat disegerakan, terutamanya di Sarawak.

Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin berkata sekiranya tanah tapak pembinaan bangunan sekolah daif tidak menjadi tanah hak milik persekutuan, maka kerja-kerja pembinaan tidak akan dapat dijalankan.

“Itu adalah antara perkara yang telah dibincangkan oleh saya semasa mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Abang Johari Openg di Wisma Bapa Malaysia (pusat pentadbiran kerajaan Sarawak di Kuching), semalam.

“Jika kita lihat kepada perkara paling asas untuk diselesaikan, insya-Allah pada masa akan datang apabila isu tanah itu selesai, maka prosesnya akan lebih cepat serta teratur,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Menengah Samariang.

Sementara itu, Radzi berkata sejak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengumumkan penjawat awam diwajibkan mengambil vaksin Covid-19, sesetengah guru yang dilaporkan enggan menerima vaksin kini telah mula mendapatkan dos pertama mereka.

“Kita (KPM) telah menerima senarai terkini selepas perkara itu diumumkan, ada guru telah mendapatkan dos pertama, maka kita sedang memantau keadaan semasa.

“Apa yang paling penting adalah sekiranya guru-guru yang tidak divaksin ini menjejaskan operasi sekolah, tindakan segera akan diambil termasuklah membuat pertukaran terutamanya guru pendidikan khas yang sentiasa bersama murid secara fizikal dengan murid berkeperluan khas,” katanya.

No comments: