Friday, October 1, 2021

Jangkitan baharu di Langkawi naik semula, 400 kes aktif


Jangkitan Covid-19 di Langkawi dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi naik sebanyak 19 kes daripada 35 kes yang dicatat dalam tempoh sama semalam.

Dengan penambahan 54 jangkitan baharu itu, keseluruhan kes Covid-19 di pulau peranginan berkenaan sejak tahun lalu meningkat kepada 5,217 dengan 4,748 pesakit telah sembuh. Dalam tempoh itu 69 kematian dilaporkan.

Empat mukim di daerah itu merekodkan peningkatan dengan Ulu Melaka mencatat 17 kes baharu berbanding lima kes semalam, diikuti Kuah (11 kes baharu, 9 semalam); Padang Matsirat (10 kes baharu, 8 semalam); dan Air Hangat (8 kes baharu, satu semalam). Hanya Mukim Bohor dan Kedawang merekodkan penurunan kes.

Sebanyak 28 daripada kes baharu itu dikesan menerusi saringan kontak rapat; saringan bergejala (25 kes); dan satu kes menerusi saringan kendiri. Sehingga hari ini Langkawi merekodkan 400 kes aktif Covid-19.

Berdasarkan rekod Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi (PKDLangkawi), tiada jangkitan baharu hari ini membabitkan pelancong yang mengunjungi pulau berkenaan.

Semalam PKDLangkawi memaklumkan terdapat satu kes import dalam negeri (Kes Import B), tetapi tidak dinyatakan sama ada pelancong negeri lain atau penduduk Langkawi yang tinggal di negeri lain dan pulang ke pulau itu. Berita berkaitan

Bagaimanapun, hari ini, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Dr Othman Warijo mengesahkan terdapat satu kes pelancong luar positif Covid-19 di Langkawi membabitkan kanak-kanak berusia tiga tahun.

Kanak-kanak berasal dari Nilai, Negeri Sembilan itu tiba di pulau peranginan berkenaan pada 24 September bersama ibu bapanya, dan mulai demam sehari kemudian sebelum disahkan positif Covid-19 pada 26 September.

Pulau peranginan popular itu dibuka semula menerusi Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik Langkawi bermula 16 September lalu dengan ribuan pelancong dalam dan luar negara mula berkunjung ke gugusan 99 pulau itu untuk beristirahat.

Pihak berkuasa khususnya melalui Kementerian Kesihatan (KKM) mengenakan syarat ketat kepada pelancong yang ingin masuk ke Langkawi, termasuk mesti melengkapkan vaksinasi masing-masing.

No comments: