Oleh KOSMO!
PETALING JAYA – Ibu kepada usahawan kontroversi Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Sajat berasa sebak mengenangkan keadaan anaknya di negara Australia.
Usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri berkata, ibu Sajat tidak lagi ceria seperti dahulu.
“Mak kau (Sajat) tidak seceria macam selalu, namun mereka selalu sahaja memberitahu tentang perkembangan kau, mereka yang beritahu Sajat dah berada di Australia.
“Anak-anak kau pun sama juga, sering bertanya bila Umi hendak balik, rindu kepada Umi,” katanya menerusi ‘live’ di Instagram bersama Sajat sebentar tadi.
Tambahnya, dia sentiasa mengingatkan Sajat agar sentiasa menjadi diri sendiri dan tidak melakukan sebarang kontroversi yang boleh memakan diri.
“Saya doakan yg terbaik buat Sajat, sentiasa dekatkan diri dengan Allah, selalu buat benda ke arah kebaikan, saya rasa Sajat pun tidak mahu perkara-perkara ini terjadi.
“Sebagai sahabat, saya, isteri sentiasa anggap Sajat sebagai sahabat dunia dan akhirat, jangan dilayan sangat dengan netizen. Semoga Sajat bahagiakan keluarga, kami sentiasa doakan yang terbaik, jangan lupa sembahyang,” ujarnya.
Terdahulu, pada 18 Oktober lalu, Sajat, telah berhijrah ke Australia selepas dipercayai mendapat kelulusan ‘tiket’ kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Sebelum itu, polis turut mengesahkan Sajat ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok, Thailand bersama seorang lelaki berperwatakan seperti wanita warganegara tersebut ketika serbuan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu.
Pada 9 September lalu, Sajat didakwa di mahkamah Thailand atas kesalahan berkaitan Imigresen di negara berkenaan dan dibebaskan sehari kemudian dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat oleh seorang warga tempatan.
Kosmo! baru-baru ini, melaporkan Sajat bakal tersenarai dalam kalangan individu muflis di negara ini selepas pemfailan pemiutang dilakukan terhadapnya di Mahkamah Tinggi di sini – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment