Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal menyaksikan Perikatan Nasional (PN) mengambil langkah berani dengan meletak calon muda dan baharu untuk bertanding atas tiket gabungan politik tersebut.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak calon muda dan berkelayakan bakal diketengahkan gabungan itu bagi menghadapi PRN Melaka pada 20 November ini, malah menaruh kepercayaan kelompok tersebut mampu membawa kemenangan pada hari mengundi nanti.
“Dalam PRN Melaka, saya memikirkan soal anak muda terlebih dulu (sebagai calon pilihan raya), bukan orang lama.
“Lagi pun kalau mereka sesuai dan sebagainya, kenapa kita tidak boleh ketengahkan mereka untuk dijadikan calon dalam pilihan raya dan (sudah) ada pun senarai,” katanya dalam wawancara yang disiarkan menerusi Facebook anjuran Garasi TV.
Jelasnya, pemilihan calon dalam PRN Melaka akan menimbang kelayakan dan kebolehan individu tersebut, ia bagi menjadikan mereka peluang untuk menjadi pemimpin pelapis negara selepas ini.
“Bagi saya, kita tidak boleh abaikan peranan mereka. Perlu ada usaha susun lapis untuk melahirkan pelapis, membimbing mereka sehingga ke satu tahap, apabila sudah layak, beri peluang kepada mereka.
“Saya bersikap lebih terbuka dalam soal anak muda,” katanya lagi.
Muhyiddin juga berpendapat peluang perlu diberikan kepada anak muda dan orang lama tidak boleh beranggapan kedudukan atau jawatan yang dipegang itu adalah untuk selama-lamanya.
“Orang lama nak kekal pada kedudukan itu sampai tak nak lepas. Seolah-olah itu punya hak mereka. Saya fikir itu tak betul.
“Itu yang tidak sewajarnya berlaku begitu. Fasal sudah sampai satu tahap maka kita harus memberi peluang kepada orang lain,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 8 November ini sebagai hari penamaan calon, 16 November (pengundian awal) dan pengundian biasa pada 20 November.
PRN Melaka diadakan susulan tumbangnya kerajaan negeri pimpinan UMNO setelah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk dua daripada parti itu, menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hasan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Teluk Mas).
Susulan itu Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan mandat diberi semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.
No comments:
Post a Comment