GEORGETOWN: Tengkorak yang ditemui dalam longkang berhampiran sebuah premis di Jalan Makloom, di sini, Selasa lalu, dikesan mempunyai 13 kecederaan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata ia adalah berdasarkan laporan bedah siasat yang dijalankan oleh pihak hospital, semalam.
Mengikut laporan itu, beliau berkata, mangsa dipercayai wanita berusia sekitar 40 hingga 60 tahun.
"Namun, kita belum boleh mengesahkan ia akibat perbuatan jenayah atau sebaliknya kerana masih menjalankan siasatan.
"Berdasarkan keadaan tengkorak itu, mangsa dipercayai meninggal dunia antara enam hingga 12 bulan lalu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Pasar Awam Jalan Perak, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Soffian memaklumkan, pihaknya akan mendapatkan senarai orang hilang bagi membantu mengenal pasti identiti mangsa.
"Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.
Media sebelum ini melaporkan tengkorak itu ditemui seorang kelindan lori berusia 22 tahun yang sedang berehat berhampiran tempat kerjanya pada jam 3.30 petang.
Susulan itu, pasukan forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bergegas ke lokasi kejadian sebelum tengkorak terbabit dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.
No comments:
Post a Comment