Bagaimanapun perkara itu bergantung kepada jumlah anggota sukarelawan kerana ia memerlukan jumlah pasukan yang ramai.
Kerajaan negeri Selangor akan mempertimbangkan cadangan pelaksanaan ujian saringan Covid-19 dari rumah ke rumah, kata Menteri Besar Amirudin Shari.
Beliau berkata bagaimanapun perkara itu bergantung kepada jumlah anggota sukarelawan kerana ia memerlukan jumlah pasukan yang ramai.
“Jika mahu lakukan ujian dari rumah ke rumah kita memerlukan pasukan yang lebih besar,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Kempen Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin bagi mengutip derma untuk rakyat Palestin hari ini.
Terdahulu, Amirudin berkata Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin itu adalah satu daripada usaha kerajaan negeri menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin dengan sasaran mengumpulkan derma sehingga RM1 juta daripada orang ramai.
“Kutipan tabung ini akan disalurkan dalam bentuk ‘Selangor Aid Truck’ (SELaid) dan juga ambulan serta keperluan perubatan yang lain.
“Keseluruhan kutipan hari ini berjumlah RM223,957.77 dan akan dimanfaatkan oleh Global Peace Mission Malaysia untuk mangsa-mangsa di Palestin dan saya ingin menganjurkan orang ramai untuk turut sama menyumbang demi menyatakan sikap kita dan membantu rakyat Palestin tanpa mengira latar belakang agama dan kaum,” katanya.
No comments:
Post a Comment