Thursday, May 27, 2021

Pesawat Israel di ruang udara Malaysia, kerajaan perlu beri penjelasan

azrulhakimie

Dewan Negara pandang serius soal keselamatan, kesejahteraan rakyat

BANGI – Kerajaan diminta memberi penjelasan berhubung pesawat Boeing milik negara haram Israel yang dikesan merentasi ruang udara Malaysia sebelum mendarat di pangkalan tentera udara negara jiran.

Pengerusi Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Datuk Razali Idris berkata, persoalannya adakah pesawat mengikut laporan Jurnal Defense Security Asia, jenis Boeing 737-400 bernombor 4X-A00 milik Israel Aerospace Industries-Elta (IAI-Elta) iaitu sebuah syarikat kontraktor berpangkalan di Tel Aviv diberikan kebenaran terbang di ruang udara negara?

“Rakyat perlukan penjelasan yang segera apatah lagi pesawat ini dikatakan diguna pakai sebagai platform ujian peralatan radar dan elektronik.

“…termasuk ia direka menampung sistem perisikan semboyan rondaan maritim, perisikan imej, sistem amaran awal udara (AEW) dan sistem perlindungan misil pesawat komersial,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Razali berkata, pihak kaukus memandang serius dalam soal keselamatan dan kesejahteraan rakyat di negara ini, terutama ancaman Israel yang menyasarkan Malaysia, sebagai negara yang lantang memperjuangkan rakyat Palestin dan menentang kezaliman Zionisme.

“Apakah sudah ada cubaan provokasi termasuk keperluan mengancam negara kecil yang bertegas seperti Malaysia termasuk suara lantang oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertindak segera bagi memaksa Israel menghentikan kezaliman dan penindasan rakyat Palestin yang tidak berperikemanusiaan?” soalnya.

Jejak penerbangan pesawat Boeing 737-400 yang berlegar di ruang udara Singapura selama empat jam itu boleh dilihat menerusi Flightradar24.

Jurnal berita Defense Security Asia mengandaikan pesawat dengan nombor pendaftaran 4X-AOO itu mungkin membawa radar sensitif dan peralatan pengintipan.

No comments: