Oleh KHUZAIRI ISMAIL
TASEK GELUGOR: Rentas negeri dari Pulau Pinang guna lorong tikus semata-mata mahu beli nasi di Kedah yang didakwa lebih sedap.
Itu antara alasan yang diberikan seorang lelaki ketika ditahan dalam operasi yang dijalankan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara di tiga laluan lorong tikus di Kampung Selamat di sini hari ini.
Lelaki itu merupakan antara 17 individu yang ditahan dalam operasi selama kira-kira sejam bermula pukul 4 petang.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya mengesan tiga jalan tersebut iaitu dua laluan semak di sempadan Kampung Selamat-Padang Serai dan di satu jalan utama digunakan sebagai lorong tikus untuk merentas antara Pulau Pinang dan Kedah.
“Dalam operasi ini seramai 15 orang didapati merentas negeri di laluan jalan tanah (semak) ini kerana tiada permit kebenaran rentas negeri manakala dua lagi ditahan di satu lagi laluan.
“Selain itu, kita turut mengesan individu yang menggunakan surat kebenaran rentas negeri yang tidak mengikut format yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya kepada pemberita selepas operasi itu.
Sementara itu Noorzainy berkata, kebanyakan yang ditahan memberi alasan merentas negeri menggunakan laluan itu kerana mahu membeli barangan tanpa surat kebenaran.
“Bagaimanapun kita tidak boleh menerima alasan mahu membeli nasi atau barangan keperluan lain sedangkan banyak kedai di Tasek Gelugor dan juga di Padang Serai (Kedah),” katanya.
Beliau berkata, kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Balai Polis Tasek Gelugor di sini bagi siasatan lanjut.UTUSAN
No comments:
Post a Comment