Rabu, 21 April 2021

Sindiket menyamar ejen pencari kerja platform e-dagang dikesan

Oleh SITI ROHAIZAH ZAINAL
MUHAMMAD YAZID MUHAMMAD YEW

SHAH ALAM: Menyamar sebagai ejen pencari kerja dan menjanjikan keuntungan di antara lapan hingga 15 peratus kepada mangsa.

Itulah modus operandi sindiket penipuan tawaran kerja sebagai pekerja sambilan platform e-dagang, Lazada yang dikesan sejak Februari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, sindiket akan menyamar sebagai ejen pencari kerja dan mangsa kononnya akan diberikan beberapa tugasan untuk diselesaikan mereka. 

Menurutnya, sindiket juga menjanjikan keuntungan antara lapan peratus hingga 15 peratus kepada mangsa selepas melengkapkan tugasan itu.

“Mangsa dikehendaki membayar beberapa kos bagi membolehkan mereka memperolehi pulangan yang dijanjikan. 

“Sejak 6 Februari hingga hari ini, kita telah membuka 23 kertas siasatan melibatkan kerugian RM219,271.15 membabitkan sindiket ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Jelas Muhammad Yazid, mangsa akan menerima satu pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp yang menawarkan kerja sambilan dengan pautan yang perlu ditekan untuk menghubungi sindiket tersebut.

Katanya, apabila menekan pautan tersebut, sindiket akan menawarkan kerja sambilan sebagai ejen pembelian dalam talian dengan mangsa akan menerima satu gambar barang yang dijual di dalam laman Lazada. 

“Sindiket akan mengarahkan mangsa membayar harga barangan yang tertera di dalam gambar seperti dalam pesanan WhatsApp. Pembayaran ke atas barangan tersebut akan dibuat terus ke dalam akaun sindiket tanpa melalui platform Lazada.

“Mangsa diperjelaskan sindiket bahawa tujuan pembayaran barang itu bukan untuk pembelian sebaliknya bertujuan menaikkan rating barangan tersebut dalam platform e-dagang itu. 

“Biasanya mangsa akan menerima pulangan semula kos yang dibayar seperti komisen seperti dijanjikan untuk tugasan pertama dan kedua. Malah, sindiket akan berdolak-dalik untuk membuat bayaran untuk tugasan ketiga dan seterusnya sebelum gagal dihubungi,” ujarnya.

Tambahnya, orang ramai supaya berhati-hati ketika berurusan mencari pekerjaan sambilan terutama melalui sistem dalam talian. 

Semakan boleh dibuat di laman sesawang https://ccid.rmp.gov.my/semakmule untuk urusan melibatkan akaun bank dan nombor telefon bagi mengelak ditipu,” jelasnya. – UTUSAN

Tiada ulasan: