Rabu, 21 April 2021

Kompaun bukan untuk aniaya pelajar

Oleh ASLIZA MUSA
MOHD. Akmal Kamaruddin (tengah) mengambil sampel makanan dari sebuah gerai pada Majlis Pelancaran Operasi Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Dataran Orkid, Batu Gajah hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI

IPOH: Tindakan kompaun RM1,500 yang dikenakan ke atas enam pelajar Kolej Matrikulasi Perak atas kesalahan tidak memakai pelitup muka semalam, bukan satu penganiayaan kepada mereka

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd. Akmal Kamaruddin sebaliknya berkata, tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa itu adalah bertujuan mengekang penularan wabak Covid-19.

Katanya, meskipun kes itu masih dalam siasatan, pelajar terlibat tidak perlu risau kerana mereka berpeluang membuat rayuan bagi mengurangkan jumlah kompaun tersebut.

“Jangan risau, kita tidak menganiaya mana-mana pihak. kerajaan negeri sendiri prihatin dengan apa yang berlaku dan siasatan juga sedang dijalankan.

“Antara proses yang boleh mereka lakukan bagi mengurangkan kompaun ialah dengan membuat rayuan. Saya yakin jumlah pengurangan seminimum mungkin akan diberikan dan mampu dibayar pelajar.

“Saya difahamkan ada pelajar yang telah dan sedang membuat rayuan, jika mereka tidak mampu, insyaallah pihak saya juga boleh membantu untuk membayarnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Op Keselamatan Makanan sempena bulan Ramadan peringkat negeri di bazar Ramadan Dataran Orkid Batu Gajah di sini hari ini.

Menurut beliau, orang ramai diminta bertenang dengan tidak mencetuskan sebarang isu bagi kes tersebut kerana ia dalam siasatan dan boleh diselesaikan dengan baik.

Katanya, tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa juga perlu dihormati kerana mereka hanya menjalankan amanah yang diberi.

“Perkara ini boleh diselesaikan, tambahan lagi sekarang bulan Ramadan. Bersangka baiklah kepada pihak KKM (Kementerian Kesihatan) yang bekerja keras untuk memutuskan wabak Covid-19 supaya kita boleh hidup seperti biasa.

“Berilah sokongan kepada enam pelajar ini dan anggota KKM yang bekerja keras,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: