PORT DICKSON: Ruang makan di sebuah hotel di sini terbakar 75 peratus dalam kejadian kebakaran lewat petang tadi.
Menurut Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Mukhlis Mokhtar, kebakaran melibatkan ruang makan berkeluasan 30 X 120 kaki persegi di Hotel Bayu Beach Resort di Batu 4, Teluk Kemang dekat sini.
Katanya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.26 petang dan tiba di lokasi tujuh minit kemudian.
“Sebaik tiba, kami mendapati ada sebuah kebakaran melibatkan sebuah ruang makan (kafe) hotel Bayu Beach Resort yang melibatkan keluasan 30X120 kaki persegi. Kami dimaklumkan seramai 42 orang penghuni ada di hotel ini semasa kejadian.
“Bagaimanapun, semua mangsa selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dan semua mereka diarahkan keluar. Api dapat dipadamkan sepenuhnya pada pukul 8.45 malam,” katanya ketika ditemui pemberita di sini malam ini.
Ujarnya lagi, seramai 31 anggota dari empat balai digerakkan iaitu Balai Bomba Teluk Kemang, Port Dickson, Rantau dan Seremban ke lokasi kejadian dan mereka mengambil masa setengah jam untuk mengawal kebakaran.
Menurut Ahmad Mukhlis, anggota bomba mengambil masa melakukan pemadaman kebakaran kafe yang terletak berdekatan pantai tersebut.
“Kami dimaklumkan kawasan kebakaran mengalami api yang agak besar dan mempunyai perabot yang banyak termasuk bahan bakar. Anggota bomba terpaksa mengambil masa untuk memastikan api tidak merebak ke kawasan lain.
“Ketika ini, pihak bomba masih memantau untuk memastikan api dapat dipadam sepenuhnya sebelum menamatkan operasi,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan