IPOH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak merampas 18 ekor burung pelbagai spesies bernilai RM65,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Shatin, di sini semalam.
Pengarah Perhilitan negeri, Yusoff Shariff berkata, kesemua burung daripada lapan spesies dari dalam dan luar negara itu dirampas bersama tujuh sangkar dalam serbuan pada pukul 1.15 petang.
Katanya, seorang lelaki berusia 27 tahun yang mengaku sebagai pemilik hidupan liar itu turut ditahan untuk siasatan.
“Hasil pemeriksaan ke atas lelaki itu mendapati dia gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah bagi menyimpan hidupan liar berkenaan.
“Lelaki itu ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada hari sama,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Perhilitan Perak di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya percaya hidupan liar itu disimpan untuk dijual dan lelaki terbabit dipercayai aktif melakukan kegiatan tersebut sejak enam tahun lalu.
Katanya, harga pasaran bergantung kepada spesies dan kecantikan warna bulunya selain jinak yang mana harga paling mahal adalah burung jenis Blue and Gold Macaw yang boleh mencecah RM5,000 seekor.
“Kesemua haiwan itu dibawa ke Pejabat Perhilitan Perak untuk siasatan mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana menyimpan hidupan liar yang dilindungi tanpa permit atau lesen sah.
“Jika sabit kesalahan, lelaki itu boleh didenda sehingga RM50,000 atau dihukum penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan