Siasatan sama ada suspek terbabit kongsi gelap diteruskan
BANGI – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam proses penyitaan harta suspek utama yang terbabit dalam kes memukul dua pengawal peribadi kerana berpuasa, baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihak Bukit Aman menjalankan siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA) 2001.
“Siasatan masih berjalan manakala lima suspek kini dalam tahanan, dengan suspek utama direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
“Saya difahamkan polis dalam proses menyita harta suspek utama,” katanya seperti dilapor media tempatan hari ini.
Dalam pada itu, Arjunaidi berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti sama ada suspek terbabit dengan kumpulan kongsi gelap.
“Setakat ini, tiada bukti suspek dan empat pekerja yang ditahan sebelum ini terlibat dalam kongsi gelap,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial dua pengawal keselamatan mendakwa ditampar, dipukul dan diacukan pistol oleh majikan mereka yang bukan beragama Islam.
Kedua-dua mangsa ditampar dan dimarahi apabila memberitahu mereka berpuasa selepas ditanya sama ada mereka berpuasa atau tidak ketika berada di lobi sebuah kondominium di Jalan Pinang, Kuala Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan