Isnin, 19 April 2021

Lapan remaja disaman merempit selepas tarawih

Oleh NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN

LAPAN remaja berusia antara 15 hingga 21 tahun yang disaman kerana merempit dalam Op Samseng Jalanan menolak motosikal masing-masing ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, semalam.

KEMAMAN: Padah merempit selepas selesai menunaikan solat tarawih, seramai lapan remaja disaman dalam Op Samseng Jalanan di Kampung Batu 2 1/2, Jalan Air Putih di sini, semalam.

Kesemua remaja berusia antara 15 hingga 21 tahun itu turut terpaksa menolak motosikal masing-masing sejauh empat kilometer atau kira-kira sejam ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai aktiviti merempit yang bukan sahaja mengganggu ketenteraman ramai malah boleh membahayakan nyawa.

“Kita menggandakan rondaan dan pemantauan di beberapa lokasi lain termasuk Kampung Bukit Kuang dan sekitar Cukai bagi memastikan aktiviti tidak bermoral ini dapat dibanteras,” katanya hari ini.

Hanyan berkata, walaupun kesalahan itu boleh didakwa mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, pihaknya hanya mengeluarkan saman sebagai amaran pertama kepada pesalah.

Katanya, sebanyak 45 saman turut dikeluarkan dalam operasi yang dijalankan selama dua jam semalam dengan kesalahan paling tinggi membabitkan tiada lesen memandu.

“Saya mengingatkan para remaja yang merempit dan mereka yang menjadi penonton aktiviti itu yang kesalahan ini boleh dikenakan hukuman lebih berat. Jangan sampai beraya di dalam lokap,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: