Isnin, 5 April 2021

Penganggur dipenjara 5 tahun kerana bakar dapur rumah bapa

Malaysiakini

Seorang penganggur dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan khianat dengan membakar bahagian dapur rumah keluarganya.

Tertuduh Mohd Fauzie Abdullah, 33, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Dia didakwa melakukan khianat dengan api menyebabkan kebakaran dapur rumah milik Abdullah Hamat, 68, yang juga bapanya sehingga menyebabkan kerosakan dalam kejadian sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Pemberian, Kuala Krai jam 1 pagi, pada 24 Mac lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amer Sharifuddin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Sharifah Amirda memohon hukuman penjara setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan serius.

Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman penjara lima tahun bermula dari tarikh tertuduh ditangkap.

Sementara itu berdasarkan fakta kes, pengadu dihubungi abangnya mengatakan rumahnya berlaku kebakaran dan pengadu tahu bahawa kejadian itu dilakukan anaknya kerana hanya anaknya iaitu tertuduh yang tinggal di rumah berkenaan.

Difahamkan anak pengadu juga seorang penagih tegar sehingga dia dan isteri berpindah sementara ke rumah keluarga di Pasir Mas.

Tertuduh kemudiannya ditangkap pada 29 Mac dan hasil siasatan polis mendapati tertuduh membakar rumah keluarganya kerana bergaduh dengan adiknya yang bertindak menjual motosikal milik keluarga.

Berang dengan perbuatan adiknya, tertuduh mengambil pakaian adiknya dan membakar di ruangan dapur menyebabkan kebakaran dan kerosakan.

Tiada ulasan: